Tambang penerbangan musim perayaan akan turun, kata Anthony Loke


Zaim Ibrahim

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penambahan penerbangan pada musim cuti perayaan akan melibatkan penerbangan pada waktu malam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018.

TIGA syarikat penerbangan utama Malaysia setuju menambah penerbangan bagi musim perayaan bermula tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang menyifatkan langkah itu boleh menurunkan harga tambang untuk pengguna.

Anthony berkata penambahan penerbangan itu diharapkan akan menurunkan harga tambang terutama sekali pada musim cuti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri serta Hari Gawai dan Kaamatan, meliputi laluan seluruh Malaysia.

“Kita mengenal pasti harga tiket penerbangan melambung tinggi pada Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai dan Kaamaatan di Sabah dan Sarawak.

“Atas sebab itu, ketiga-tiga syarikat penerbangan itu akan menambah penerbangan tujuh hari sebelum perayaan setiap hari, dengan penambahan 20% setiap laluan daripada sedia ada,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, selepas satu mesyuarat di Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Loke berkata penambahan penerbangan itu juga melibatkan penerbangan pada waktu malam.

“Syarikat-syarikat penerbangan bersetuju untuk menawarkan penerbangan pada waktu malam selepas jam 10 atau 11.

“Kita juga akan menjalin kerjasama dengan Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) dan lapangan terbang kerana terdapat kapal terbang yang tidak beroperasi pada waktu malam,” katanya.

Loke mengadakan mesyuarat dengan pimpinan Malaysian Airlines, Air Asia dan Malindo Air.

Loke juga memberitahu jualan tiket penerbangan bagi musim perayaan Tahun Baru Cina tahun depan akan bermula pada 1 Oktober ini dan menasihati pengguna agar menempah tiket lebih awal.

Mei lepas, Loke mengarahkan Mavcom mengkaji mekanisme harga siling tiket penerbangan terutamanya semasa musim perayaan kerana tambang meningkat sehingga lebih tiga kali ganda.

Cadangan sama juga pernah dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh beberapa ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Loke bagaimanapun menjelaskan pendekatan itu tidak akan menguntungkan rakyat kerana ia memberi kesan kepada harga purata di luar musim perayaan.

“Kita bimbang kerana kaedah itu,syarikat penerbangan akan puratakan harga tiket dan mengakibatkan tambang pada hari biasa meningkat,” katanya. – 4 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen