Kad prabayar isian semula telefon bimbit tidak boleh dikenakan SST


Bede Hong

SST itu tidak boleh dikenakan kepada pelanggan yang layak menerima nilai penuh isian semula mereka daripada syarikat telekomunikasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 September, 2018.

PUTRAJAYA akan menguatkuasakan syarat kepada syarikat telekomunikasi supaya tidak menolak 6% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada kad prabayar telefon bimbit, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata cukai itu tidak boleh dikenakan kepada pelanggan yang layak menerima nilai penuh isian semula mereka.

“Syarikat telekomunikasi ini buat masalah. Saya tidak faham kenapa di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini, mereka dapat memberikan nilai penuh.

“Dan kenapa di bawah SST, mereka beritahu pelanggan yang jumlah akan ditolak dan kemudian membayarnya semula. Kenapa buat macam ini? Ia menyusahkan semua orang,” katanya dalam satu temu bual di rancangan Selamat Pagi Malaysia, siaran RTM.

“Saya tidak tahu sama ada syarikat telekomunikasi ini mempunyai otak BN (Barisan Nasional) atau ia masalah sistem. Saya sudah beritahu mereka untuk betulkannya. Jika tidak betulkan, kerajaan akan campur tangan untuk betulkan. Saya jamin perkara ini kepada pelanggan.”

Lim minggu lalu berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan wakil syarikat telekomunikasi dan sebarang kenyataan daripada syarikat berkenaan menyatakan kad prabayar tertakluk kepada SST, adalah salah.

Syarikat telekomunikasi menawarkan waktu berbual dan data percuma sebagai ganti kepada SST, yang dikenakan kepada pelanggan.

“Kami mengambil pendekatan lembut dan bertimbang rasa dalam melaksanakan dasar itu. kami berharap mereka ambil tindakan jika tidak mahu kerajaan campur tangan,” kata Lim hari ini.

Beliau berkata kerajaan berharap mengutip RM21 bilion pada akhir tahun, berbanding RM44 bilion tahun lalu di bawah Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dimansuhkan.

“Matlamatnya ialah mengutip hasil dengan paling sedikit rungutan daripada pembayar cukai,” kata Lim. – 4 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen