MALAYSIA akan kembali kepada era di mana kerajaan menganggap sektor swasta sebagai rakan dalam pembuat keuntungan dan pembinaan ekonomi, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Kerajaan berjanji untuk kembali ke era di mana kita ada Persyarikatan Malaysia di mana negara ini dianggap sebuah syarikat besar.
“Dan bekerjasama dengan sektor swasta bersama-sama untuk meraih untung besar untuk syarikat negara supaya kita ada duit untuk sokong industri dan rakyat dan menyediakan tadbir urus yang baik,” kata perdana menteri ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Sarung Getah Antarabangsa ke-9 di Kuala Lumpur hari ini.
Persyarikatan Malaysia diperkenalkan pada 1981 dengan matlamat kerjasama pihak kerajaan dan swasta bagi mencapai pembangunan ekonomi.
Dr Mahathir berkata kerajaan mendapat manfaat bila industri berkembang dan membuat lebih untung.
“Kerajaan mengalakkan perniagaan walaupun ia tidak begitu altruistic bagi pihak kerajaan.
“Jika kami bantu anda buat duit, ia adalah kerana 26% duit anda buat adalah milik kerajaan,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan pembangunan penyelidikan di negara ini, berkata sumber mentah dan semulajadi negara tidak mencukupi untuk membolehkan Malaysia menerajui industri.
“Getah asal dari Brazil, kelapa sawit pula asalnya dari Afrika Barat tetapi kita boleh tanam pokok lebih baik dan produk melalui penyelidikan,” katanya.

“Walaupun kita bukan lagi pengeluar terbesar getah tetapi sekarang kita pengeluar terbesar sarung tangan getah dunia.
“Ia bukan soal getah tetapi lebih penting adalah aplikasi produk,” katanya.
Malaysia pada masa kini adalah pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia dan dijangka membekalkan 63% atau 168.8 bilion sarung tangan getah pada 2018.
Menurut Presiden Persatuan Pembuat Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low, produk itu mencakupi 73.2% eksport barangan getah dari Malaysia.
Untuk enam bulan pertama 2018, nilai industri sarung tangan getah negara adalah RM8.47 bilion, naik 6.57% berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Ia diterjemahkan kepada jangkaan pendapatan sebanyak RM18.8 bilion untuk Malaysia pada 2018,” kata Low. – 4 September, 2018.
Komen