Zahid sepatutnya beri tumpuan selesai masalah militan dalam negara, kata DAP


Asila Jalil

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi perlu memberi tumpuan kepada masalah yang melanda negara dan bukannya menggunakan agensi kerajaan bagi tujuan politik, kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim hari ini, merujuk kepada pendedahan butiran kad pengenalan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Zahid yang juga menteri dalam negeri memberitahu Parlimen yang Malaysia berjaya mengusir 14 ahli kumpulan militan Islamic State (IS), manakala 16 yang lain kekal masih berada dalam negara.
Sim, ahli Parlimen DAP, sebelum ini bertanya Zahid mengenai kemasukan 30 individu “berisiko tinggi” sebagai ahli IS ke Malaysia.

“Bagaimana Imigresen kita membenarkan ahli IS memasuki Malaysia?

“Saya membangkit persoalan ini banyak kali di dalam dan luar Parlimen tentang masalah dengan sistem pengurusan Imigresen biometrik dan berkomputer bernilai berbilion ringgit serta sindiket dalaman yang mempergunakan undang-undang imigresen,” kata Sim di Bilik Media di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga menegaskan kerajaan hanya berjaya mengesan kurang separuh daripada bilangan ahli kumpulan militan yang memasuki negara ini dua bulan lalu.

“Saya tidak tahu mana yang lebih menakutkan, terdapat sekurang-kurangnya 16 ahli IS yang diketahui di kalangan kita atau pihak berkuasa kita tidak tahu berapa ramai ahli IS yang dibawa ke Malaysia dan di mana mereka berada hari ini.

“Semua isu ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Oleh itu, jelas didapati ada krisis serius di dalam Kementerian Dalam Negeri.

“Adalah malang yang timbalan perdana menteri dan juga menteri dalam negeri menyibukkan diri dan agensi di bawah tanggungjawabnya, menyelongkar kad pengenalan lama Dr Mahathir Mohamad daripada menguruskan secara tegas dan cekap krisis yang dihadapi kementeriannya,” kata Sim. – 1 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen