Nasib Wisma MCA diketahui November ini


Andrew Chin

CADANGAN MCA untuk meruntuhkan ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bagi memberi laluan pembinaan bangunan setinggi 70 tingkat ditangguhkan buat masa ini.

Keputusan berhubung perkara tersebut hanya akan diketahui selepas pemilihan MCA pada November ini dan terserah kepada pemimpin baharu parti yang dipilih ketika itu.

Sumber dalam parti itu berkata usul merobohkan Wisma MCA akan lebih jelas apabila pemimpin baharu mengambil-alih selepas sesi pemilihan November ini, susulan pencapaian buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

“Saya percaya presiden parti ketika ini (Liow Tiong Lai) tidak akan membuat sebarang keputusan. Semuanya akan dijelaskan selepas pemilihan parti.

“Pelan pembangunan memerlukan kelulusan majlis presiden dan delegasi pusat pada perhimpunan peringkat kebangsaan,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insight.

Pada Sabtu, The Edge melaporkan MCA telah mendapatkan kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2 Ogos lalu untuk merobohkan ibu pejabat setinggi 23 tingkat di Jalan Ampang.

Sebagai ganti, MCA mencadangkan pembinaan menara setinggi 70 tingkat dengan kemudahan 328 bilik hotel, pejabat, tempat letak kereta setinggi lapan tingkat dan restoran.

Parti itu mengemukakan usul pembinaan itu kepada DBKL pada 23 Julai lalu.

Bagaimanapun sumber dalaman parti itu menafikan ibu pejabat yang sedia ada akan dirobohkan serta merta.

Sebaliknya, bangunan itu akan kekal sehingga menara yang dicadangkan siap dibina.

“Lebih tepat lagi, ini merupakan pelan pembangunan semula. Menara terbabit akan dibina di sebelah Wisma MCA. Bangunan asal tidak akan dimusnahkan.

“Selepas projek itu siap, ibu pejabat MCA masih kekal di alamat yang sama. Kita tidak akan berpindah,” katanya.

Sumber itu berkata, MCA merancang untuk membangunkan semula ibu pejabatnya kira-kira dua tahun lalu.

Namun sukar buat parti itu sukar menjangkakan kemampuan untuk menarik pelabur ke dalam projek tersebut susulan kekalahan Barisan Nasional pada PRU14.

Kos projek tersebut dianggarkan bernilai RM1 bilion.

Presiden MCA keempat Lee San Choon merupakan individu yang bertanggungjawab mengusulkan pelan untuk membina Wisma MCA pada 1975.

Bangunan itu terletak di tanah pegangan bebas seluas 5.3 hektar. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen