Tak perlu saman, bayaran balik GST tahun depan, kata Guan Eng


Bede Hong

Pembayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM19.4 bilion kepada peniaga dan individu dalam akan dilakukan mulai tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 September, 2018.

PEMBAYARAN balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM19.4 bilion kepada peniaga dan individu akan dilakukan mulai tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim pada bulan lepas berkata sebanyak 121,429 syarikat dan individu belum menerima bayaran balik GST mereka, malah ada yang belum menerima sejak 2015 lagi. Kementerian Kewangan pada bulan lepas juga mengesahkan pembayaran akan dilakukan mulai tahun depan.

Menurut menteri itu, ketika mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas peniaga mengenai cukai jualan dan perkhidmatan (SST), beliau ditanya sama ada kerajaan harus didakwa berhubung pembayaran tersebut.

“Apabila saya pergi ke banyak tempat, mereka semua bertanya (mengenai bayaran balik GST), walaupun saya minta supaya jangan tanyakan hal ini kerana ia berlaku pada masa pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Apa yang akan kita lakukan ialah kita akan mula bayar mulai tahun depan. Tetapi ramai yang masih bertanya. Mereka cuma mahu kita tahu yang mereka belum dibayar sejak 2015, 2016.

“Dan mereka tanya saya jika mereka boleh saman kerajaan. Mereka minta saya jawab. Saya tak boleh beritahu anda boleh saman atau tidak. Anda kena jumpa peguam, itu hak anda.

“Tetapi saya hairan, mengapa pada 2016, 2017, 2018 sehinggalah 9 Mei, mereka tak saman kerajaan. Mengapa sekarang nak saman sekarang?” Lim memberitahu pemberita semasa taklimat mengenai SST di Putrajaya hari ini.

Lim telah ke Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Johor Bahru bagi mendapatkan maklum balas mengenai SST. Beliau berada di Sabah semalam dan akan berada di Seremban malam ini. – 3 September, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen