SENARAI barangan dan perniagaan yang dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) masih belum muktamad dan akan lebih ‘dinamik’ dan ‘organik’, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada hari ketiga sejak pelaksanaan semula cukai tersebut.
Katanya lebih banyak pengecualian akan dibuat dan Putrajaya mahu menggunakan pendekatan ‘lembut’ bagi melaksanakan SST yang mengenakan cukai 5% dan 10% peratus bagi cukai jualan dan 6% bagi cukai perkhidmatan.
Guan Eng berkata demikian pada satu sidang media hari ini ketika berlaku kekeliruan senarai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai selepas kerajaan mengeluarkan beberapa barangan daripada senarai tersebut yang ditambah secara tidak sengaja.
Ini kerana barangan itu dimasukkan dalam senarai secara ‘terkumpul’.
Sebanyak 11,197 barangan dikenakan cukai GST semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dan senarai itu telah dimansuhkan pada 1 Jun lalu.
Di bawah SST, hanya 5,612 barangan dikenakan cukai jualan sebanyak 10% manakala 793 barangan dikenakan cukai 5%.
Sebanyak 5,443 barangan pengguna dikecualikan daripada cukai tersebut.
“Ini bukan senarai statik. Ia merupakan senarai dinamik. Dan juga senarai organik.
“Dinamik untuk peralatan dan organik bagi barangan makanan. Jadi ia merupakan senarai dinamik, organik dan akan berubah apabila perlu.”
“Kita perlu mengkaji, di mana kewangan akan menerima kesan. Sebarang pindaan terhadap senarai tersebut akan memberi kesan kepada jumlah kutipan (cukai). Soalnya sama ada kesan itu amat besar atau tidak.”

Guan Eng mempertahankan langkah kerajaan melaksanakan cukai itu pada Sabtu walaupun tidak memuktamadkan senarai barangan.
“Ini bukan soal situasi paling sesuai, jika tidak negara akan mengalami defisit. Kita kekurangan sumber, tenaga dan nasihat pakar. Kita perlu menerangkan kepada 80,000 pihak yang mendaftar. Namun situasi ini lebih mudah berbanding memberi penerangan kepada 472,000 pihak di bawah GST.”
Guan Eng berkata, senarai itu akan terus dikaji sehingga hujung tahun ini, disusuli dengan pertemuan bersama pemilik perniagaan di seluruh negara.
Beliau telah mengadakan lawatan di Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Sabah dan akan menghadiri pertemuan di Seremban malam ini.
“Kita mengadakan sesi pertemuan ini yang tidak pernah dilakukan oleh menteri kewangan. Kita tidak akan menghukum mereka sama ada mereka melakukan kesilapan secara tidak sengaja atau tidak.
“Kita akan mengambil pendekatan lembut sebagai sebuah kerajaan yang saling memerlukan ahli perniagaan. Tiada hukuman penjara atau denda.
“SST merupakan cukai yang lebih ‘lembut’ dan sepatutnya lebih baik daripada GST melainkan untuk barangan mewah. Namun mereka yang mampu membeli (barangan mewah) maka mereka perlu bayar (cukai).”
Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Paddy Abdul Halim hari ini mengumumkan pihaknya menyediakan panduan berhubung kadar cukai jualan untuk pelbagai barangan menerusi senarai 3,654 barangan asas pengguna di pautan https://mysst.customs.gov.my. – 3 September, 2018.
Komen