Keadilan dan kedaulatan undang-undang?


Jahabar Sadiq

Dan hari ini, kita belum lagi berganjak daripada era ketidakadilan di Malaysia. – Gambar EPA, 3 September, 2018.

APA itu keadilan?

Dua wanita disebat kerana didakwa cuba melakukan hubungan dengan alat permainan seks? Bagaimana dengan seorang menteri yang dilepaskan daripada tuduhan rasuah dan bukannya ditentukan bersalah atau tidak melalui perbicaraan penuh?

Kali terakhir seorang wanita disebat kerana jenayah agama ialah pada Mac 2010 tetapi Sultan Pahang mengecualikan Kartika Sari Dewi Shukarno daripada keaiban itu.

Itu bagaimanapun tidak berlaku di Terengganu hari ini apabila dua wanita yang didakwa dan didapati bersalah atas dakwaan hubungan sesama jenis disebat selepas hukuman itu ditangguhkan minggu lalu.

Dua wanita itu, masing-masing berumur 32 dan 22 tahun, disebat pagi ini dengan disaksikan kira-kira 100 orang, selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis dalam kereta pada 8 April lalu. Ini kali pertama wanita disebat di bawah undang-undang syariah di Terengganu.

Hukuman sebat di khalayak umum ini pernah berlaku sebelum ini tetapi hanya di Sabah pada 2016 dan dua kes lain pada 2011 atau 2012. Satu lagi kes pada 2014 tidak dijalankan hukumannya.

Semua kes melibatkan jenayah seksual dan tidak seorang pun daripada mereka menjalani hukuman penjara.

Tetapi wajarkah ini dilakukan pada hari ini, pada zaman ini? Undang-undang jenayah memperuntukkan hanya lelaki yang boleh disebat, setakat umur tidak lebih 50 tahun. Dan hanya bagi mereka yang dipenjara.

Undang-undang syariah berbeza dan ini jadi tanda tanya kerana negeri-negeri berhak atas undang-undang Islam – bukannya kerajaan persekutuan. Bukankah semua orang sama rata di bawah undang-undang? Ya, tetapi tidak dalam hal undang-undang syariah.

Kerajaan Pakatan Harapan boleh bercakap tentang kedaulatan undang-undang tetapi setakat apa yang boleh lakukan sebagai kerajaan persekutuan dan barangkali di negeri yang juga ia jadi kerajaan.

Dalam konteks itu, soalan juga berbangkit tentang keputusan mahkamah membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan seorang lain daripada tuduhan rasuah yang dikemukakan semasa kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Beliau selama ini mempertahankan pertuduhan itu bermotif politik. Tetapi dakwaan itu tidak dapat dibuktikan sekarang kerana hakim setuju untuk melepaskan beliau.

Peguam negara yang dulu merasakan ada cukup bukti untuk mendakwa Lim di mahkamah tetapi Pejabat Peguam Negara sekarang merasakan sebaliknya.

Sama seperti peguam negara sebelum ini merasakan tiada bukti yang cukup untuk mendakwa perdana menteri pada masa itu Najib Razak atas kesalahan berkaitan duit yang masuk ke akaun peribadinya tetapi peguam negara sekarang merasakan sebaliknya.

Kedua-dua kes melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sebelum ini berpendirian ada bukti untuk mendakwa Najib dan Lim. SPRM kini perlu mempertahankan pendirian itu atau dilihat sebagai tunduk kepada tekanan politik dulu dan sekarang.

Pada akhirnya, ia adalah tentang apa yang jadi kesalahan jenayah di Malaysia dan kedaulatan undang-undang. Dan bagaimana Malaysia menegakkan keadilan untuk rakyat Malaysia tanpa mengira latar agama dan politik.

Dan hari ini, kita belum lagi berganjak daripada era ketidakadilan di Malaysia. Kita perlu memastikan keadilan dilaksanakan dan ternampak dilaksanakan – tidak kira sistem mahkamah apa yang digunakan. Itu yang tidak kita peroleh hari ini. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen