Hanya Anwar dan Rafizi pemimpin menjiwai reformasi, kata Johari Abdul


Nabihah Hamid

Calon naib presiden PKR Johari Abdul berkata berkata masyarakat perlu memanfaatkan pemimpin yang ikhlas selain berwibawa dan berkualiti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 September, 2018.

GANDINGAN Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli sebagai presiden dan timbalan presiden PKR adalah tepat kerana kedua-dua pemimpin menjiwai semangat reformasi sebenar. 

Calon naib presiden Johari Abdul berkata selain Anwar yang sudah terbukti pengorbanannya sebagai pencetus perubahan, Rafizi dilihat lebih memahami aspirasi akar umbi. 

“Orang yang saya lihat betul-betul menjiwai reformasi dua orang. Pertama, Anwar yang faham kerana sudah masuk keluar penjara dan beliau memperjuangkan reformasi dan yang kedua ialah Rafizi. 

“Rafizi bukan saja anak muda yang cerdik dan pintar, mempunyai pendidikan yang cukup untuk memimpin tetapi apa yang lebih penting, beliau memahami hasrat kehendak anggota di bawah,” kata ahli Parlimen Sungai Petani itu dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight. 

Johari yang berada bersama parti sejak zaman Reformasi 1998 itu juga yakin, hanya Rafizi padanan mantap untuk Anwar.  

“Saya adalah pengasas Keadilan nasional dahulu, jadi saya dapat melihat ini adalah antara insan yang rasa boleh membawa reformasi, apatah lagi beliau anak muda. Sebab itu saya rasa gandingan antara Anwar dan beliau (Rafizi) sempurna untuk agenda reformasi ini,” katanya lagi. 

Pengorbanan dan perjuangan Rafizi ikhlas

Rafizi Ramli dilihat lebih memahami aspirasi akar umbi dalam memperjuangkan reformasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2018.

Johari berkata masyarakat perlu memanfaatkan pemimpin yang ikhlas selain berwibawa dan berkualiti. 

Rafizi, katanya punyai idea bernas yang boleh digunakan untuk melancarkan urusan negara. 

“Saya lihat beliau ada double degree. Anak muda secara personaliti seorang yang tawaduk, dan seorang yang ikhlas dalam berjuang. Beliau meninggalkan gaji yang mahal dalam Petronas. 

“Saya lihat bagaimana Rafizi mainkan peranan paling banyak khususnya dalam mengetengahkan isu idea-idea yang baik khususnya dalam penyediaan bajet. 

“Baik semasa kita dalam kerajaan Barisan Alternatif dahulu kemudian ada Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, penglibatan beliau dalam penyediaan data-data, beliau memang bernas,” kata Johari lagi. 

Justeru, katanya Malaysia bertuah kerana mempunyai pemimpin muda yang baik dan bakatnya harus digilap lagi. 

Rafizi kini bersaing hebat dengan Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan timbalan presiden yang bakal ditentukan anggota pada 22 September ini. 

Penganalisis sosio politik, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Rafizi yang mengetuai kem Reformasi 20 tahun cuma memperlihatkan pejuang reformasi. 

Namun, Azmin dipandang sebagai pemimpin yang sudah teruji kesetiaan dalam parti selain mempunyai rekod pentadbiran yang baik. 

“Dalam kempen ini, Rafizi cuba memperlihatkan dirinya sebagai pejuang reformasi tulen, cuba membawa dan mempertahankan idealisme dalam perjuangan sebagai pemimpin parti yang akan pastikan dalaman parti bersatu dan lebih kuat serta berintegriti.

“Azmin dilihat pemimpin yang sudah teruji dalam asam garam politik, mampu menyempurnakan tugasan sebagai menteri besar Selangor dan kini memainkan peranan sebagai menteri hal ehwal ekonomi negara,” katanya. – 3 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen