KEPERLUAN terhadap undang-undang baru bagi menangani pensabotaj ekonomi, rasuah dan salah laku di peringkat tertinggi menerima pandangan bercampur daripada peguam perlembagaan dan jenayah.
Peguam jenayah Rajsurian Pillai berkata kerajaan tidak perlu menunggu sehingga undang-undang baru dibuat untuk menangani kes-kes tersebut.
“Banyak undang-undang sudah ada untuk menangani isu tersebut.
“Penipuan dan pecah amanah termasuk di bawah Kanun Keseksaan, dan pelbagai jenis rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed pada Sabtu berkata ramai usahawan Bumiputera tidak mendapat peluang akibat rasuah dan salah laku oleh pihak berjawatan tinggi dalam kerajaan.
Beliau berkata kerajaan perlu membuat undang-undang baru untuk menghukum pensabotaj ekonomi, yang menghentikan usaha meminggirkan perniaga Bumiputera kerana ketamakan mereka yang berkuasa.
Beliau berkata dasar memperkasakan Bumiputera gagal disebabkan oleh kronisme, kontrak “Ali Baba” dan monopoli mengenai tender.
Rajsurian berkata semua kes ini sudah berleluasa untuk masa yang lama.
“Ia lebih banyak berkaitan dengan kekurangan usaha untuk bertindak terhadapnya. Siasatan dan undang-undang sudah tersedia. Masalahnya ialah pihak berkuasa tidak mempunyai keinginan untuk menguatkuasakan undang-undang ini.”
Beliau berkata, elemen rasuah dalam perniagaan kini sudah menjadi suatu perkara “biasa”.
“Sekiranya Abu Kassim bercakap mengenai undang-undang tertentu berkenaan mereka yang menyalahgunakan hak dan keistimewaan yang diberikan kepada mereka, maka saya tidak mempunyai sebarang komen.
“Pendapat saya adalah, tidak perlu menunggu undang-undang baru untuk mengambil tindakan.”

Peguam perlembagaan Surandra Ananth berkata ketua GIACC berhak dalam mengenal pasti isu-isu yang perlu ditangani.
“Walaupun ia melangkaui semua kaum dan projek, saya rasa masalah ini berkaitan dengan kebebasan pihak penyiasat, dalam kes ini, SPRM.
“Tidak syak lagi ada masalah dengan undang-undang sedia ada, tetapi banyak suspek boleh disiasat dan didakwa di bawahnya.”
Beliau berkata amalan lantikan ketua SPRM oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri mesti diubah.
“SPRM mesti bebas daripada kuasa eksekutif, dan ketuanya mesti dilantik oleh badan bebas.
“Ini akan memastikan SPRM dapat menyiasat pegawai awam tanpa takut dengan pendakwaan. Ini mesti menjadi keutamaan.”
Surandra berkata untuk merealisasikan perkara ini, undang-undang tertentu mesti dipinda dan diperkenalkan.
“Salah satu perkara utama yang perlu dilakukan ialah mewajibkan pengisytiharan aset bagi pegawai awam tertentu.
“Ini akan membolehkan SPRM memastikan pegawai awam penting tidak menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.” – 3 September, 2018.
Komen