PEMILIK lot Plaza Rakyat marah dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana bersikap “lepas tangan” dan tidak lagi akan membantu mereka mendapatkan pampasan bagi projek yang tertangguh 20 tahun lalu.
Sekretariat jawatankuasa sementara mereka Ng Pang Wah, 69, berkata mereka tidak dimaklumkan yang DBKL tidak lagi terlibat.
“Kenapa DBKL mendakwa mereka tiada kaitan dengan kami? Apabila kami membeli hartanah, ia merupakan pemilik tanah itu.
“Bagaimana mereka boleh kata tidak terlibat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
DBKL berkata pemaju baru adalah pemilik tanah dan tidak mempunyai sebarang kewajipan undang-undang terhadap pemilik lot.
Datuk Bandar Md Amin Nordin Abd Aziz berkata terdapat perjanjian berasingan antara pemaju dan pemilik lot, dan DBKL tidak terlibat dalam rundingan antara kedua-duanya.
Amin berkata jika pemaju mendapat kelulusan, mereka boleh meneruskan projek itu walaupun tidak memberi pampasan kepada pemilik lot dan terpulang kepada pemilik lot untuk mengambil sebarang tindakan terhadap pemaju.

Ng berkata, apa yang mereka mahukan ialah melihat perjanjian jual dan beli (S&P) yang baru antara pemaju dan DBKL.
“Kami dimaklumkan dalam S&P baru ada klausa untuk pampasan. Apa yang kita minta adalah tawaran yang adil.
“Pemaju sudah pasti membeli harta itu pada harga pasaran, tetapi mereka menawarkan pemilik untuk mengembalikan jumlah wang yang dilaburkan mereka sejak 20 tahun lalu, yang merupakan suatu tindakan tidak adil.
“Pelaburan kami menyusut nilai sejak beberapa tahun lalu. Jika tidak, kita sudah membeli hartanah lain di bandar.”
Pemaju juga diberikan sehingga akhir bulan September bagi menjelaskan bayaran tertunggak kepada DBKL, yang mana kontraknya akan ditamatkan.
Projek di Jalan Pudu itu terbengkalai pada 1998 berikutan krisis kewangan Asia 1997.
Pada 2015, pemaju baru, Profit Consortium Sdn Bhd, menandatangani perjanjian jual beli dengan DBKL untuk mengambil alih tempat 6.2 hektar tanah dengan harga RM740 juta.
Ng berkata mereka sudah menghubungi DBKL tetapi tidak berjaya dan kini ingin agar kerajaan baru campur tangan.
“Apa yang kami minta adalah untuk mengadakan pertemuan dengan pemaju. Kami tidak meminta pampasan yang adil. Kita semua sudah tua dan ada yang sudah meninggal dunia.
“Kami tidak mahu mengheret perkara ini ke mahkamah dan terperangkap dengan perbalahan undang-undang.”

Ng berkata mereka sudah menghantar surat kepada Pejabat Perdana Menteri dan berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.
Plaza Rakyat adalah pembangunan bercampur yang merangkumi menara pejabat setinggi 79 tingkat, blok kondominium 46 tingkat, sebuah hotel 24 tingkat dan sebuah pusat membeli-belah tujuh tingkat.
Sejak Januari, 104 daripada 211 pembeli asal menerima surat tawaran yang dikeluarkan oleh pemaju baru, dan rundingan sedang berjalan. – 3 September, 2018.
Komen