SPRM nafi siasat Hishammuddin


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata beliau tidak mendapat sebarang maklumat mengenai siasatan terhadap Hishammuddin Hussein. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2018.

KETUA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull hari ini menolak dakwaan peguam Shahruddin Ali yang mengatakan badan anti rasuah itu ingin menyiasat bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein berhubung tuduhan penyalahgunaan dana oleh pegawai risikan kerajaan.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Shukri mendedahkan beliau tidak dimaklumkan oleh pegawai-pegawainya mengenai perkara itu dan tidak mengetahui jika Hishamuddin akan dipanggil.

“Tidak, saya tidak dimaklumkan. Pegawai saya tidak memberitahu saya. Jadi, saya rasa ia tidak benar,” kata Shukri.

Shaharudin, yang mewakili bekas ketua pengarah Malaysia External Intelligence Organisation (MEIO) Hasanah Abdul Hamid, berkata ia didedahkan di mahkamah majistret pagi ini.

Shaharudin berkata, seorang pendakwa raya ketika pendengaran reman anak guamnya hari ini ingin menyiasat Hishammuddin dan dua putera Saudi sebagai satu daripada sembilan alasan untuk melanjutkan reman Hasanah selama tujuh hari.

Alasan lain termasuk SPRM ingin mengesan baki dana yang hilang dan beberapa jam tangan mewah, selain mengesan pergerakan dan menggeledah kediaman anak guamnya.

“Apa yang mengejutkan adalah dua perkara: Nama Hishammuddin disebut sebagai antara orang yang mungkin disiasat oleh SPRM berhubung dengan Hasanah dan tujuh pegawai MEIO lain. Jadi, mereka berkata akan menyoal Hishammuddin tidak lama lagi.

“SPRM juga berkata mereka sedang mengesan dua putera Arab Saudi. Saya tidak tahu bagaimana orang-orang ini terlibat. Saya dimaklumkan SPRM mahu melakukan semua ini dalam tempoh tujuh hari yang mereka minta…

Peguam kepada bekas ketua pengarah MEIO, Hasanah Abdul Hamid berkata nama Hishammuddin Hussein disebut sebagai antara orang yang mungkin disiasat oleh SPRM berhubung kes Hasanah dan tujuh pegawai MEIO lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2018.

“Hasanah menafikan Hishammuddin dan dua putera Arab Saudi terlibat dalam kes ini,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran reman.

Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini melanjutkan tempoh reman Hasanah sehari lagi selepas reman lima harinya tamat hari ini.

Beliau ditahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang melarang menggunakan kedudukan atau pejabat untuk mendapatkan suapan.

Hasanah ditahan pada 28 Ogos untuk membantu siasatan terhadap penangkapan tujuh pegawai tadbir dan diplomatik dari Jabatan Perdana Menteri kerana didakwa menyalahgunakan dana Pilihan Raya Umum ke-14.

Sumber SPRM dilaporkan berkata Hasanah sedang disiasat mengenao bagaimana pegawainya memiliki kira-kira AS$400,000 (RM1.6 juta).

Sumber mengatakan wang itu dipercayai diberikan kepada MEIO oleh pentadbiran terdahulu untuk disimpan. – 2 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen