Anwar belum sedia dedah kerusi Parlimen pilihan


Looi Sue-Chern

Anwar Ibrahim mengakui sedang mempertimbangkan beberapa kerusi Parlimen untuknya bertanding pada pilihan raya kecil. Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung PKR Bahagian Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 2 September, 2018.

WALAUPUN Anwar Ibrahim sudah menyenaraikan “dua atau tiga” kerusi Parlimen untuk kemunculan semula di Dewan Rakyat, beliau berkata masih tidak boleh mendedahkan kerusi mana yang menjadi pilihannya untuk bertanding.

Anwar berkata tidak wajar baginya mendedahkan apa-apa ketika perbincangan masih berlangsung.

“Kami serius mempertimbangkan beberapa kawasan. Saya tidak mahu membantutkan apa-apa.

“Ada kerusi di utara, selatan ... malah mungkin Pekan, ‘kalau kosong la,” katanya berseloroh kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR Bahagian Pulau Pinang di Prai hari ini.

Pekan ialah kerusi yang dipegang oleh bekas perdana menteri Najib Razak daripada Barisan Nasional.

Najib berdepan pelbagai tuduhan seperti penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd.

Anwar berkata sebaik sahaja beliau dan dalam parti menyelesaikan hal kerusi itu, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta rakan Pakatan Harapan yang lain.

Beliau berkata sebaik sahaja keputusan dibuat, beliau akan memberitahu DAP, Amanah dan Bersatu untuk mendapatkan konsensus.

 “Apabila ia dicapai, saya akan memaklumkan kepada anda (media).” – 2 September, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen