SPRM mahu siasat Hishammuddin, putera Arab, kata peguam Hasanah


SM Amin

Peguam kepada bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia, Hasanah Abdul Hamid berharap SPRM tidak menyalahgunakan proses reman dengan melanjutkan tempoh anak guamnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2018.

PEGUAM kepada Hasanah Abdul Hamid mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu melanjutkan reman anak guamnya itu untuk menyiasat bekas menteri, Hishammuddin Hussein.

Peguam, Mohd Khairul Azam Aziz berkata SPRM juga membangkitkan alasan bahawa mereka mahu menahan Hasanah lagi untuk menyiasat mengenai dua orang putera Arab Saudi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh timbalan pendakwa raya ketika prosiding melanjutkan reman ke atas bekas ketua perisik Malaysia External Intelligence Organisation (MEIO) itu hari ini.

“SPRM kata hendak soal siasat Hishammuddin dengan dua putera Arab Saudi. SPRM berhak untuk menyiasat siapa sahaja.

“Tetapi kenapa perlu menahan anak guam kami tujuh hari lagi? Tempoh lima reman sebelum ini pun SPRM hanya pada hari terakhir baru hendak soal siasat.

“SPRM janganlah menyalahguna proses reman ini,” katanya yang menambah Hasanah juga menafikan individu yang disebut oleh SPRM terlibat dalam kes berkaitan anak guamnya.

Mahkamah Majistret bagaimanapun menolak permohonan SPRM dan hanya memberikan lanjutan reman sehari lagi untuk menyiasat Hasanah.

The Malaysian Insight sedang mendapatkan kenyataan Hishammuddin Hussein berhubung kenyataan Khairul Azam.

Hasanah bersama tujuh anak buahnya dalam MEIO itu ditahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan mendapatkan suapan.

MEIO merupakan unit rakasi yang berselindung di sebalik nama unit penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri.

Lapan individu itu ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah AS$12 juta (RM49.5 juta).

Former intelligence chief Hasanah Abdul Hamid makes her court appearance in handcuffs and under escort by MACC officers. – The Malaysian Insight pic by Nazir Sufari, September 2, 2018.

SPRM turut merampas wang sebanyak AS$6.3 juta (RM25.9 juta) daripada beberapa lokasi dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana dilakukan bekas pegawai perisik kerajaan itu.

Penemuan paling besar, berjumlah AS$4.07 juta (RM16.75 juta) ditemui di sebuah kondominium yang disewa di Cyberjaya pada Rabu malam lalu, pada hari penahanan dibuat.

SPRM mendedahkan, ia merupakan sebahagian daripada wang berjumlah AS$12 juta (RM49.5 juta) yang disyaki diseleweng oleh pentadbiran kerajaan terdahulu dan dibawa masuk ke dalam negara sebelum PRU14.

Hasanah dan tujuh pegawai tersebut dinamakan sebagai suspek dalam skandal berkenaan.

Hasanah turut disiasat berhubung satu surat kepada pengarah agensi perisik Amerika Syarikat yang meminta negara itu menyokong pentadbiran Najib Razak waktu itu.

Hasanah dalam surat kontroversi bertarikh Mei itu juga menggambarkan lawan Najib, Dr Mahathir Mohamad sebagai tokoh yang anti-Barat dan antisemitik. – 2 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen