Sudah tiba masanya lupakan perkara lalu, kata Anwar


Looi Sue-Chern

Ketibaan Anwar Ibrahim pada mesyuarat agung PKR Bahagian Pulau Pinang disambut meriah ahli parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 2 September, 2018.

KETIKA tanggal 2 September masih menjadi hari menyedihkan dalam ingatan Anwar Ibrahim, presiden PKR itu berkata sudah tiba masanya ia dilupakan dan hidup perlu diteruskan.

Hari ini, 20 tahun yang lalu, Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri ketika itu.

“Kita perlu teruskan hidup. Ia adalah tragis dan sedih, dan sukar bagi saya, keluarga, sahabat dan rakan sekerja. Tetapi saya fikir kita perlu lupakan.

“Senario politik sudah berubah. Kita kini sudah mempunyai kesetiakawanan yang kukuh dan hubungan kerja dengan Dr Mahathir. Beliau bekerja dengan baik untuk negara ini.

“Itu harus menjadi tumpuan. Kita perlu selamatkan Malaysia,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan PKR Bahagian Pulau Pinang di Prai hari ini.

Selepas dipecat, Anwar mula mengadakan siri jelajah ke seluruh negara, memberikan ucapan sebelum ditangkap pada 20 September.

Beliau dipenjarakan, dibicarakan kerana rasuah dan liwat, dan akhirnya dihukum penjara.

Beliau dipenjarakan dua kali atas kesalahan liwat sebelum akhirnya diberi pengampunan diraja Mei ini selepas Pakatan Harapan, yang kini dipimpin oleh bekas musuhnya, Dr Mahathir, mengambil alih kerajaan persekutuan.

Mengenai Dr Mahathir yang melantik bekas ketua polis negara Rahim Noor sebagai perantara rundingan damai antara kerajaan Thailand dengan pemberontak negara itu, Anwar berkata ia adalah budi bicara perdana menteri.

Turut hadir anak perempuan Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah pada mesyuarat agung PKR Bahagian Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 2 September, 2018.

Dilaporkan ketika Anwar ditangkap pada 1998, Rahim adalah individu penyebab kepada insiden mata lebam yang yang terkenal itu.

“Saya sudah mengatakan bahawa kita faham orang yang telah melihat, menyaksikan dan mengalami kekejaman seperti itu mendapati ia menyakitkan.

“Tetapi saya juga mengakui fakta yang ruang harus diberikan kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk menentukan apa yang terbaik. Tetapi itu tidak akan menghalang orang daripada menyatakan rasa tidak senang mereka,” katanya. – 2 September, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen