SABAH perlukan lebih daripada pelarasan gaji minimum, tetapi juga kemudahan dan pembangunan yang lebih baik, kata Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hari ini.
Bagaimanapun, beliau pasti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan menunaikan janji untuk lebih adil kepada rakyat Sabah dan akan melaksanakan syarat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), walaupun prosesnya mengambil masa.
“Saya berharap ia bukan sahaja gaji minimum, tetapi juga perkara lain, kami bincangkan. Antaranya termasuklah kemudahan lebih baik, penambahbaikan dalam sistem pendidikan di negeri ini.
“Sudah tentu janji dibuat dan pelaksanaan lebih cepat, lebih baik. Namun untuk menerapkannya dalam sistem kerajaan negeri akan mengambi masa. Kita perlu berikan masa kepada Putrajaya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Shafie turut menegaskan bahawa Sabah merupakan negeri yang luas, dan banyak rakyatnya di kawasan jauh di pedalaman seperti Long Pa Sia memerlukan lebih banyak kemudahan dan bekalan air terawat.
__full.jpg)
Semalam Dr Mahathir mengulangi pendirian Putrajaya untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 bagi memastikan Sabah dan Sarawak menerima kemudahan yang sama sebagaimana negeri di Semenanjung.
Katanya, perjanjian itu akan dihidupkan semula bagi menghormati semua ikrar yang digariskan di dalamnya dan memfokuskan kepada semua janji yang dibuat dalam perjanjian itu.
“InsyaAllah, kita akan cuba (mencapainya),” kata Dr Mahathir pada sesi soal jawab Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 yang turut disertai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan mensisihkan Sabah dan Sarawal dalam sebarang perkara termasuk gaji yang mana gaji minimum lebih rendah berbanding yang diberikan kepada pekerja di Semenanjung.
__full.jpg)
Kadar gaji minimum bagi Malaysia Timur adalah RM950 berbanding RM1,200 di Semenanjung.
Sebelum ini, Shafie menjelaskan pendirian kerajaan negeri Sabah bahawa bayaran royalti minyak perlu berdasarkan keluaran kasar, bukan keuntungan sebagaimana yang dinyatakan Putrajaya.
Royalti minyak merupakan antara perkara yag disebut dalam MA63, yang lain adalah 60:40 perkongsian hasil yang berdasarkan hasil perolehan persekutuan dari negeri seperti cukai dan levi.
Kedua-dua peruntukan adalah selaras dengan perjanjian yang dijanjikan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah untuk direalisasikan sekiranya ia membentuk kerajaan persekutuan dan Sabah semasa manifesto kempen Pilihan Raya Umum ke 14.
Hingga kini, PH masih tidak menunaikan janji mereka selepas menawan Putrajaya 9 Mei lalu. – 2 September, 2018
Komen