MAHKAMAH Majistret Putrajaya hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman terhadap Hasanah Abdul Hamid selama tujuh hari.
Peguam Hasanah, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata mahkamah hanya membenarkan lanjutan reman selama sehari sahaja terhadap bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) itu.
“SPRM minta untuk sambung reman tujuh hari tetapi mahkamah hanya benarkan sehari sahaja,” katanya ringkas ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Dalam prosiding hari ini, seorang lagi peguam Hasanah, Shahrudin Ali membantah permohonan lanjutan reman SPRM kerana gagal memanfaatkan tempoh reman lima hari yang telah diberikan.
Shahrudin berkata SPRM seharusnya menggunakan tenaga kerja maksimum untuk menggeledah dan menyoal siasat suspek dan bukannya hanya mula merakam keterangan Hasanah pada hari keempat tahanannya.
“SPRM memberikan alasan pegawai mereka sibuk membuat penggeledahan dan tidak sempat untuk mengambil keterangan Dato Hasanah.
“Empat hari tahanan tanpa disiasat apa-apa oleh SPRM adalah penganiayaan mental terhadap Hasanah dan tidak sewajarnya beliau terus dibuli dalam keadaan SPRM sendiri belum bersedia untuk menyiasat kerana ketiadaan barang bukti mencukupi.

“Oleh itu Majistret hanya membenarkan tempoh lanjutan reman sehari sahaja dan Hasanah perlu dibebaskan petang esok,” katanya.
Tempoh reman Hasanah bersama tujuh anak buahnya selama lima hari berakhir pada hari ini. Beliau ditahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan mendapatkan suapan.
Hasanah dan tujuh pegawai diplomatik berkenaan sebelum ini bertugas di unit rahsia MEIO yang berselindung di sebalik nama unit penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri.
Lapan individu itu ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjumlah AS$12 juta (RM49.5 juta).
SPRM turut merampas wang sebanyak AS$6.3 juta (RM25.9 juta) daripada beberapa lokasi dalam siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana dilakukan bekas pegawai perisik kerajaan itu.
Penemuan paling besar, berjumlah AS$4.07 juta (RM16.75 juta) ditemui di sebuah kondominium yang disewa di Cyberjaya pada Rabu malam lalu, pada hari penahanan dibuat.
SPRM mendedahkan, ia merupakan sebahagian daripada wang berjumlah AS$12 juta (RM49.5 juta) yang disyaki diseleweng oleh pentadbiran kerajaan terdahulu dan dibawa masuk ke dalam negara sebelum PRU14.
Hasanah dan tujuh pegawai tersebut dinamakan sebagai suspek dalam skandal berkenaan.
Hasanah turut disiasat berhubung satu surat kepada pengarah agensi perisik Amerika Syarikat yang meminta negara itu menyokong pentadbiran Najib Razak waktu itu.
Hasanah dalam surat kontroversi bertarikh Mei itu juga menggambarkan lawan Najib, Dr Mahathir Mohamad sebagai tokoh yang anti-Barat dan antisemitik. – 2 September, 2018.
Komen