MENTERI Luar Anifah Aman menyelar kenyataan Parti Warisan Sabah mengatakan kerajaan pusat tidak berminat dalam menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Anifah berkata, tuduhan Setiausaha Agung Loretta Padua Jr itu tidak berasas, menghasut dan mengelirukan.
Pada 28 Julai, Padua mengkritik Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang menyimpang dari topik asal dan bercakap tentang ancaman IS apabila Presiden Warisan Shafie Apdal bertanya kepadanya di Parlimen tentang usaha yang dibuat kerajaan untuk menghalang tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Kata Anifah, bukan sahaja Shafie sangat arif tentang pendirian kerajaan berkaitan isu ini, tetapi dia juga tahu soalan itu ditujukan bukan kepada menteri yang sepatutnya.
Menteri luar itu berulang kali menyatakan pendirian kerajaan terhadap tuntutan Filipina yang tidak berasas itu.
“Malaysia tidak akan mengiktiraf dan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak ke atas Sabah,” katanya.
Sabah mendapat pengkitirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhannya pada 16 September, 1963.
“Sebagai ahli Parlimen Semporna selama beberapa tahun, Shafie sepatutnya tahu akan pendirian kerajaan dan amat maklum isu ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri, bukannya Kementerian Pertahanan,” kata Anifah, sambil menambah respon Padua semata-mata untuk menimbulkan kekeliruan.
“Ini sangat mendukacitakan memandangkan hal sepenting ini tidak sepatutnya dijadikan mainan politik murahan.” – 31 Julai, 2017.
Komen