BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation (FIC) Mohd Zaid Abdul Jalil ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi berhubung skandal pembelian hotel mewah di London.
Penahanan itu disahkan Pengarah Siasatan SPRM Simi Abd Ghani dimana Mohd Zaid ditahan kira-kira jam 9.20 malam tadi selepas hadir di pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan.
SPRM juga berkata bekas pegawai eksekutif itu bakal dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.
Terdahulu, Mohd Zaid dilaporkan hadir memberi keterangan pada kira-kira jam 9.30 pagi sebelum ditahan SPRM.
SPRM merakam kenyataan 11 individu berhubung pembelian terbabit bagi membantu siasatan.
Hotel yang dimaksudkan SPRM berkemungkinan merujuk Hotel Grand Plaza Kensington yang dibeli FIC pada Disember 2014 dengan harga £60 juta (RM330 juta).
Hotel Grand Plaza Kensington bertaraf empat bintang yang mempunyai 62 bilik tetamu, terletak di kawasan mewah di daerah Kensington dan Chelsea.
Ia merupakan pembelian pertama FIC dan kedua Felda.
Pembelian itu dibuat di bawah Ketua Pegawai Eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil manakala Isa Samad merupakan pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), iaitu sebuah anak syarikat Felda. – 31 Julai, 2017.
Komen