Kongres Bumiputera bukan untuk rampas hak kaum lain, kata Azmin


Zaim Ibrahim

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata, Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 memberi fokus terhadap nilai, moral, etika, dan integriti kaum Bumiputera. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 September, 2018.

KONGRES Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 hari ini tidak bertujuan untuk merampas hak kaum lain tetapi sebaliknya bagi melahirkan kaum Bumiputera yang berintegriti, tegas Azmin Ali.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, himpunan tersebut memberi fokus terhadap nilai, moral, etika, dan integriti kaum Bumiputera.

“Kita yakin, dengan penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mapan dapat memberi kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia.

“Saya berharap, selesai kongres ini bukan sahaja dapat membentuk masyarakat Bumiputera dan Melayu yang berintegriti,” kata beliau ketika berucap semasa Majlis Penutup KBN disini, hari ini. 

Usahawan Melayu perlu segera menghentikan amalan rasuah dan perniagaan berbentuk ali baba, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 September, 2018.

Beliau turut berharap mengharapkan, kaum lain akan mengubah pandangan dan melihat Bumiputera sebagai satu kaum yang berani dan cekap untuk maju ke hadapan.

Oleh itu, usahawan Melayu perlu segera menghentikan amalan rasuah dan perniagaan berbentuk ali baba.

“Jangan ada lagi kotak lama, ini bukan Melayu rasuah, ini bukan Melayu ali baba. Sebab jika amalan ini masih diteruskan, masalah tidak selesai malah negara boleh runtuh,” ujar beliau lagi.

Kongres yang dihadiri 2,500 wakil pelbagai badan dan syarikat itu juga diadakan bagi membincangkan pelbagai isu seperti ekonomi, etika, dan modal insan kaum Bumiputera.

Selain itu, ia turut mengenalpasti bidang pertumbuhan baharu untuk diceburi oleh Bumiputera dan menjalinkan kerjasama pelbagai pihak bagi menyokong agenda pembangunan negara. – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen