PIHAK berkuasa agama Kelantan semalam menahan beberapa individu termasuk seorang pemimpin parti politik berhubung dakwaan menjadi ketua kumpulan Syiah.
Sumber polis mengesahkan perkara itu kepada The Malaysia Insight, sambil berkata suspek berusia 65 tahun dengan gelaran Datuk itu antara 50 suspek pengikut Syiah yang ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Bagaimanapun, pegawai polis berkenaan enggan mendedahkan parti mana yang diwakili ahli politik berkenaan.
“Saya tidak boleh dedahkan kerana siasatan masih sedang berjalan. Saya yakin mungkin akan ada sidang media esok,” kata sumber itu.
Menurut New Straits Times, buku ajaran Syiah antara yang dirampas dalam operasi selama sejam bermula 10.30 malam dan turut dibantu polis.
“Pihak berkuasa agama tempatan, dengan bantuan agensi penguatkuasa lain, telah memantau kumpulan ini selama beberapa tahun. Tidak seorang pun ditangkap, kerana mereka berjaya meloloskan diri.
“Bagaimanapun, kali ini, nasib tidak menyebelahi mereka,” kata sumber seperti dipetik NST.
Akhbar itu memetik Pengarah JAHEAIK Che Mohd Rahim Jusoh akan mengadakan sidang media esok berhubung tangkapan tersebut.
Selain kumpulan Syiah, pihak berkuasa agam negeri juga mengenal pasti beberapa “kumpulan sama” lain yang aktif di negeri itu. – 1 September, 2018.
Komen