Putrajaya digesa kembalikan Bank Bumiputra


K. Kabilan

Bank Bumiputra bergabung menjadi Bumiputra-Commerce Holdings pada 1999 dan kemudian CIMB Bank. – Gambar AFP, 1 September, 2018.

KERAJAAN perlu mengembalikan semula Bank Bumiputra bagi membantu perniagaan Bumiputera, kata seorang ahli panel pada forum ekonomi Bumiputera di Kuala Lumpur, hari ini.

Perunding hartanah Abdul Rahim Abdul Rahman berkata Kongres Ekonomi Bumiputera 1965 mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah bank khas bagi membantu ahli perniagaan Melayu, yang kemudiannya menyaksikan penubuhan Bank Bumiputra.

Bank berkenaan bergabung menjadi Bumiputra-Commerce Holdings pada 1999 dan kemudiannya menjadi CIMB Bank.

“Pada masa ini, kita sekali lagi memerlukan Bank Bumiputra secara khusus untuk membantu perniagaan Bumiputera.

“Dan saya berharap kerajaan akan melaksanakannya sebagai hasil persidangan tahun ini,” kata Abdul Rahim dalam forum Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018) hari ini.

Abdul Rahim, yang merupakan pengasas syarikat hartanah Rahim & Co, juga berkata banyak agensi kerajaan telah gagal dalam membantu perniagaan Bumiputera.

“Kerajaan harus meniliti semula agensi-agensi ini dan melantik semula orang yang betul bagi mengendalikannya. Jangan buat lantikan politik. Buat lantikan berdasarkan merit,” katanya.

Delegasi lain berkata agensi kerajaan harus dihadkan peranannya sebagai pengawal selia, dan tidak terlibat secara langsung dalam perniagaan.

“Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengawal semuanya. Lihat sendiri agensi pelancongan. Tabung Haji ada satu. Felda dan Bank Rakyat pun ada. Mengapa?

“Agensi kerajaan ini harus melakukan perkara yang perniagaan Bumiputera tidak boleh lakukan. Jika mereka membina telefon bimbit jenis i-Phone, ia okay, tetapi mengapa mereka terlibat dalam perniagaan yang orang lain boleh buat?” soalnya. – 1 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen