MENDENGAR ucapan Dr Mahathir Mohamad membuka Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara pagi tadi betul-betul suatu déjà vu – bukan saja butir bicaranya pernah beliau sebut berulang-ulang kali, suasananya juga terasa sama seperti ketika beliau pertama kali mengucapkannya dulu.
Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sisi menara berkembar mercu tanda pentadbirannya 22 tahun dahulu, Dr Mahathir yang jadi perdana menteri untuk kali kedua mengupas pencapaian dan kegagalan sosio ekonomi orang Melayu.
Beliau juga membentangkan peluang dan ruang untuk pembetulan, yang akan cuba dilakukan oleh pentadbirannya yang mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional selepas pilihan raya bersejarah 9 Mei lepas.
“Saya tiada berita gembira untuk disampaikan. Seperti biasa saya menegur, marah, berleter dan semua lagi saya buat selama 22 tahun jadi perdana menteri.
“Itulah sahaja yang tahu saya sampaikan kepada Bumiputera,” katanya dalam ucapan tanpa teks kepada lebih 2,500 peserta konvensyen yang hadir.
Sesiapa yang pernah mendengar atau melihat sendiri Dr Mahathir berucap di pentas perhimpunan agung Umno selama beliau jadi presiden parti itu antara 1981 hingga 2003, begitulah nada dan suasananya.
Ucapannya yang terasa mengalir begitu saja seadanya, menegur orang Melayu secara berdepan dan berterus-terang. Dr Mahathir di pentas berbaju Melayu lengkap bersamping; khalayaknya juga begitu.
Tetapi ada yang berubah dalam ucapannya. Ada yang tidak lagi sama seperti dulu, walaupun kulitnya terasa serupa.

Dr Mahathir hari ini memberi amaran kepada usahawan dan ahli perniagaan Melayu, amaran yang semasa beliau jadi perdana menteri kali pertama dulu hampir tidak terdengar di pentas terbuka.
“Kalau seseorang itu mendapat kontrak, maka dialah akan melaksanakan kontrak itu. Kalau dijual atau dipindah kepada orang lain, maka kontrak itu akan terbatal. Minta maaf.
“Kalau kita tidak ada kemampuan untuk melaksanakan kontrak itu, jangan cuba mendapat kontrak. Kalau niat kita hanya untuk menjual kontrak yang kita dapat maka kontrak yang kita jual itu tidak lagi sah, tidak lagi boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau juga menegaskan kerajaan akan membuat keputusan yang baik untuk rakyat dan negara walaupun keputusan itu nanti tidak popular dalam kalangan orang Melayu sehingga memperjudikan nasib politiknya.
Kalau kerajaan kalah sebab tidak tunaikan permintaan orang Melayu pun tidak mengapa, kata Dr Mahathir.
“Bukan kita (kerajaan) berada di sini untuk menganiaya kaum bangsa kita sendiri,” katanya.
Nada tegas Dr Mahathir itu tidak pernah dikesan dalam banyak ucapannya tentang nasib masa depan sosio ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.
Selama ini, kalau beliau menyentuh soal yang sama, beliau cuma merayu kepada mereka yang mendapat manfaat daripada peluang yang diberikan oleh dasar kerajaan supaya tidak menjual peluang itu. Paling-paling pun mereka diberi amaran tidak akan dipertimbangkan lagi untuk kontrak yang lain.
Tetapi kali ini lebih tegas lagi – kontrak yang dipindah tangan akan dibatalkan oleh kerajaan. Maknanya, mereka yang dapat kontrak dengan cara tidak sepatutnya, tidak akan merasa apa-apa. Tangkap angin saja.

Inilah yang diharapkan oleh banyak pihak, termasuk dalam kalangan pengkritik dasar afirmatif kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) – bantuan hanya kepada yang layak, bukan kerana kenal orang dalam apatah lagi untuk memperpanjangkan sokongan politik.
Bahawa DEB berjaya mencapai sebahagian matlamatnya tidak boleh ada yang menafikan. Landskap negara berubah. Pendapatan negara bertambah. Kelompok kelas menengah juga bertambah. Malaysia hari ini pada zahirnya bukan lagi Malaya pada 1957.
Tetapi DEB dipandang hina oleh pengkritiknya, sehingga orang Melayu yang menerima manfaat daripada dasar itu malah jadi malu untuk mengaku bahawa mereka adalah anak DEB – seperti Tanggang yang selepas jadi nakhoda dan berkahwin tiga, merah mukanya melihat ibu kandungnya datang membawa cikah dan lotong.
DEB sebuah dasar penyusunan semula masyarakat dengan serampang dua mata juga untuk membasmi kemiskinan. Matlamatnya ialah supaya tidak ada mana-mana kaum dikenali identitinya dengan mana-mana fungsi ekonomi.
Namun dasar afirmatif itu busuk namanya kerana perangai buruk sesetengah orang Melayu dan Bumiputera yang bertenggek atas dasar itu sebagai hak – sehingga tidak mempedulikan layak atau tidak seseorang itu atas apa yang dikatakan sebagai hak.
Pemimpin politik selama ini tidak berani melawan arus. Mereka yang cuba untuk tidak mengamalkan politik naungan akhirnya terpelanting dari tangga kuasa. Kuasa politik kemudiannya dikaitkan dengan peluang ekonomi – terikat simpul mati.
Najib Razak yang cuba memperkenalkan model ekonomi yang tidak melihat pecahan kaum sebaliknya kelas ekonomi, semasa mula-mula jadi perdana menteri, akhirnya terpaksa tunduk kepada tekanan pendesak Melayu. Najib yang cuba duduk di garis tengah politik akhirnya berpatah balik ke kanan. Slogan 1Malaysia perlahan-lahan kemudian hilang.
Itu sebabnya orang hairan bagaimana kepimpinan politik yang ditunjangi orang Melayu, yang berjaya mengubah Malaysia sehingga pernah jadi kuasa ekonomi, gagal memimpin orang Melayu jadi usahawan dan ahli perniagaan.

Paradoks dan ironi itu menjadi tema buku The Malay Leadership Mystique, kajian menarik mengenai DEB dan semangatnya oleh ahli perbankan dan kewangan, Vaseehar Hassan Abdul Razack.
Buku yang membawa maksud Keganjilan Kepimpinan Melayu itu mengupas hal-hal yang mencemarkan kepimpinan Melayu dalam perniagaan. Ini termasuk soal mentaliti subsidi, kurang pengalaman dan latihan, pecah amanah, rasuah serta penyelewengan oleh pemimpin politik untuk memperpanjangkan kuasa.
Dr Mahathir kini ada peluang kedua untuk melakukan apa yang tidak dapat beliau lakukan semasa pertama kali jadi perdana menteri sebelum ini.
Ketika itu, pada penghujung pentadbirannya, dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia Dr Mahathir memberitahu beliau kecewa kerana gagal mengubah orang Melayu.
Beliau sudah menunjukkan contoh dan teladan. Beliau sudah menegur. Beliau sudah memujuk. Beliau sudah berdoa. Beliau sudah menangis. Semua saya sudah buat, katanya, tetapi orang Melayu tidak juga berubah.
Sekarang ini, selepas 16 tahun bersara, Dr Mahathir sekali lagi menunjukkan contoh dan teladan, menegur dan memujuk, dan tentunya juga berdoa.
Tetapi beliau juga memberi amaran, dan beliau sangat sedar kesan amarannya itu. – 1 September, 2018.
* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]
Komen