PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata usahawan Melayu dan Bumiputera perlu mengubah sikap menjadi rajin berusaha dan menggunakan peluang sebaiknya untuk memperoleh kejayaan.
Katanya usahawan berkenaan tidak boleh bergantung kepada kedudukan kaum untuk berjaya tetapi perlu berusaha dan menggunakan peluang dengan baik.
“
Tambahnya, slogan “Ketuanan Melayu” yang sering dilaungkan parti Umno selama ini tidak bermakna jika kaum Melayu gagal mengubah nasib untuk berjaya dalam perniagaan dan perusahaan.
“Tidak guna kita panggil diri kita tuan, kita bangga kerana kita adalah tuan. Kalau kita jadi pemandu kereta dan ada orang di belakang mengarahkan kita ke mana-mana, apakah kita tuan ataupun yang di belakang itu tuan?
“Tidak guna laung seperti (Umno) di sana, ‘Ketuanan Melayu, Ketuanan Melayu’. Ketuanan Melayu tetapi jadi kuli orang bukan tuan.
“Kita akan merosot lagi, proses ini akan berterusan melainkan kita cuba cari jalan supaya kita juga mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan dan perusahaan,” katanya.

Berucap semasa merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 hari ini, beliau berkata kerajaan juga tidak mengumumkan sebarang insentif kerana tidak mahu usahawan Bumiputera terus meminta-minta.
Malah beliau rela jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) tewas dalam pilihan raya umum akan datang, asalkan dapat mengubah sikap kaum tersebut.
“Jika terhad kepada meminta-minta, saya (rela) walaupun kerajaan ini akan dikalahkan kerana tidak menunaikan permintaan, itu tidak mengapa bagi kita. Bukan kita berada di sini untuk menganiayakan kaum bangsa kita sendiri.
“Saya tiada berita gembira untuk disampaikan. Seperti biasa saya menegur, marah, berleter dan semua lagi saya buat selama 22 tahun jadi perdana menteri itulah sahaja yang tahu saya sampaikan kepada Bumiputera.
“Kalau kita mengadakan kongres yang ketiga ini dan kita balik menunggu-nunggu kekayaan datang melayang, bergolek kepada kita, tunggulah, tidak akan ada yang datang melayang,” ujarnya.
Tambahnya, usahawan Melayu dan Bumiputera akan terus gagal sekiranya kekal dengan cara lama, lebih-lebih lagi memandangkan golongan itu sudah terbiasa dengan cara mudah untuk kaya.

Beliau memberi contoh, pemberian wang percuma Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan dikurangkan secara berperingkat dan dihapuskan oleh kerajaan PH tidak lama lagi.
“Kerajaan mengumpul wang dan beri percuma kepada kita. BR1M, upah untuk nelayan yang tidak tangkap ikan dan sebagainya.
“Semua ini melemahkan kita kerana kita tidak lagi perlu berusaha kuat untuk mendapat sara hidup yang sebaiknya. Sebaliknya kita menunggu-nunggu wang itu datang melayang, bergolek kepada kita,” ujarnya.
“Selagi kita cari jalan yang mudah kita akan gagal. Saya harap kongres ini serius dalam usaha untuk memperbaiki nasib bumiputera dan orang Melayu. Kongres ini perlu serius melaksanakan keputusan yang baik jika ada.
Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 hari ini antara lain bertujuan meraih padangan dan idea baru untuk membantu golongan itu.
Ia turut bertujuan mengenal pasti bidang pertumbuhan baharu untuk diceburi oleh Bumiputera dan juga menjalinkan kerjasama pelbagai pihak bagi menyokong agenda pembangunan Bumiputera.
Kongres hari ini turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali manakala Presiden PKR Anwar Ibrahim dijangka akan menyampaikan ucapan penutup pada petang ini. – 1 September, 2018.
Komen