MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) dikekalkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, walaupun peranan dan fungsinya sepatutnya ditadbir oleh beberapa kementerian.
Kata Dr Mahathir, Mara yang kini ada maktab dan universiti serta mengendalikan kemahiran usahawan sudah jadi terlalu besar untuk hanya diletakkan di bawah sebuah kementerian.
Namun beliau akur kerana cadangannya mahu mengagih-agihkan peranan dan tanggungjawab Mara itu diselia oleh beberapa kementerian dapat bantahan ramai.
Perdana menteri mengumumkan perkara itu semasa berucap di Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 hari ini.

“Saya harap kementerian itu (KPLB) kuat dan sanggup memikul beban yang cukup besar. Mara terlibat dalam bidang pembangunan luar bandar, perniagaan, perusahaan, latihan, pelajaran dan pelbagai bidang termasuk pengurusan pelaburan,” kata Dr Mahathir ketika sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara, hari ini.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa akhir Julai lepas mempersoalkan ura-ura Putrajaya mahu “memecahkan Mara” ke bawah bidang kuasa beberapa kementerian. Usaha itu beliau sifatkan sebagai “mengagih-agihkan harta rampasan perang”.
Annuar yang juga bekas pengerusi Mara mendedahkan Mara akan dibahagi-bahagikan juga kepada Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Beberapa pemimpin Umno lain, termasuk bekas presiden Umno Najib Razak yang juga bekas perdana menteri, turut menyatakan pandangan membantah pelan kerajaan itu.
Dr Mahathir sebelum ini difahamkan bercadang mahu memindahkan pelbagai portfolio di bawah Mara untuk ditadbir mengikut portfolio kementerian yang berkenaan. Misalnya, MRSM dan UiTM dicadangkan dipindahkan ke Kementerian Pendidikan.

“Perkembangan atas nama Mara bukan lagi industri luar bandar sahaja tetapi dalam semua bidang termasuk pelaburan. Ada perkara-perkara yang tak sepatutnya dilabur.
“Oleh kerana Mara begitu besar, satu orang menguruskannya tidak mencukupi. Sebab itu kita cuba mengagihkan peranan Mara kepada beberapa kementerian tetapi mendapat tentangan yang hebat.
“Sekarang ini, kita kembalikan Mara ke satu kementerian sahaja,” jelas beliau kepada sidang hadirin lebih kurang 2,500 delegasi.
Pada tahun-tahun awalnya, Mara yang dinaik taraf dari sebuah lembaga ditempatkan di bawah Kementerian Perusahaan Awam pada tahun 1970-an, sebelum kementerian itu ditukar nama jadi Pembangunan Usahawan pada 1995.
Kementerian itu bagaimanapun dimansuhkan dalam kabinet Najib pada 2009 dan sejak itu Mara dipindahkan ke bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar. – 1 September, 2018.
Komen