ADA banyak hal mustahak yang sudah berubah dan ada banyak yang masih begitu juga, apabila tokoh korporat dan cendekiawan berhimpun hari ini membincangkan masa depan sosio ekonomi Melayu dan Bumiputera.
Peta politik Malaysia sudah berubah. Suhunya juga sudah berubah. Ekonomi dunia dan cara manusia mengendalikan ekonomi juga sudah dan sedang berubah, dengan munculnya inovasi disruptif yang mencipta pasaran baru dan meruntuhkan pasaran lama.
Nama kongres itu sendiri mencerminkan perubahan itu. Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara hari ini adalah jelmaan daripada beberapa kongres ekonomi bumiputera sejak edisi pertamanya pada 1965, yang kemudian pernah juga dianjurkan dengan nama kongres ekonomi Islam.
Inilah siri kongres yang melahirkan dan memantapkan antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kemudiannya Universiti Teknologi Mara (UiTM). Inilah juga siri kongres yang melahirkan Bank Bumiputera Malaysia Berhad, institusi kewangan untuk usahawan bumiputera yang hari ini sudah berkubur dan dilupakan sejarah.
Sejak Merdeka, lebih kurang 10 kongres sudah dianjurkan bertujuan untuk memecahkan masalah sosio ekonomi orang Melayu dan bumiputera, kelompok paling besar yang umumnya ketinggalan dalam sosio ekonomi sampai ke hari ini.
Apabila pembuat dasar, tokoh korporat dan industri, usahawan dan cendekiawan sekali lagi berhimpun untuk membincangkan masa depan bumiputera hari ini, mereka akan dihadapkan dengan isu dan masalah yang sebahagian besarnya masih juga sama.
Isu dan masalahnya boleh dirumuskan begini: Kenapa masalah masih belum juga selesai walaupun sudah hampir 50 tahun kerajaan memperkenalkan pelbagai program sosio ekonomi untuk meningkatkan kemahiran dan kedudukan bumiputera?
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan selepas Tragedi 13 Mei untuk menyusun semula masyarakat tanpa mengira kaum mencapai sebahagian cita-cita itu dalam tempoh 30 tahun pelaksanaannya. Apabila dasar itu tamat pada 1990, semangatnya diterapkan dalam dasar-dasar yang seterusnya.

Kadar kemiskinan ketika Malaya merdeka pada 1957 diturunkan dengan cukup signifikan. Pendapatan negara juga meningkat dengan luar biasa. Landskap negara dari Perlis sampai ke Sabah berubah. Keadaan sosial lainnya daripada pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan hidup juga diperbaiki dengan jayanya.
Namun, sasaran menyeluruh dasar kerajaan untuk membetulkan ketidakseimbangan sosio ekonomi antara kaum tidak juga tercapai, malah kepincangan dalam kalangan kaum sebaliknya agak membimbangkan.
Ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid menunjukkan masalah itu dengan cukup jelas dalam bukunya Antara Dua Darjat: Agihan Pendapatan Malaysia (2017), terjemahan daripada The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia yang terbit tiga tahun sebelumnya.
Buku ini tidak hanya melontarkan pertanyaan, apa yang silap – dasar kerajaan yang lemah atau kumpulan sasaran yang liat untuk berubah? Dr Muhammed juga menggariskan beberapa cadangan yang tentunya boleh diperhalusi oleh kongres hari ini, terutamanya yang menyentuh soal pendidikan.
Malah kongres hari ini tentunya akan merujuk atau mencadangkan semula sebahagian usul yang pernah berbangkit dalam siri kongres sebelumnya.

Apa pun usul dan cadangan itu, semuanya tentu boleh dengan mudah diterjemahkan selepas ini.
Tetapi yang sulit sebaliknya – yang sudah cuba ditangani jauh lebih lama sebelum hari ini – ialah mengubah sikap dan menanam nilai yang baik dalam jiwa orang Melayu dan bumiputera untuk mengubah nasibnya sendiri.
Ini bukan cerita baru. Ini cerita yang diulang berkali-kali dalam hampir semua kongres ekonomi bumiputera yang dianjurkan sejak 1965.
Ubah nasib
Hampir setiap kali berkongres tentang masa depan, setiap kali itu jugalah ada yang memetik ayat Al-Quran “Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka.”
Malah disebut juga pesan-pesan murni tentang orang Melayu dan ekonomi yang dikupas oleh Pendeta Za’aba sejak 1920-an dan kemudian diangkat oleh Ungku Abdul Aziz lebih kurang 30 tahun kemudian.
Itulah juga yang menjadi inti pati pesanan Dr Ismail Abdul Rahman, ketika itu timbalan perdana menteri, dalam ucapannya menutup Kongres Ekonomi Islam Kedua pada 1972 – kongres yang dikesali kerana pada hari ini hampir tidak ada rekod yang boleh dirujuk mengenainya kecuali laporan akhbar.
Dalam ucapannya itu Dr Ismail mengingatkan agar mereka yang mendapat nikmat hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera supaya menggunakannya menurut susila dan peraturan yang memelihara maruah masyarakat Melayu dan Islam.
Pesanan Dr Ismail itu disifatkan oleh Sultan Nazrin Shah sebagai suatu amanat yang harus dijadikan sebagai pantang larang – “wasiat yang harus dipatuhi setiap masa.”
Ini soal nilai. Bolehkah kongres hari ini memecahkan kebuntuan masalah nilai dan sikap ini? Bolehkah Melayu dan Bumiputera berubah?

Dr Mahathir Mohamad pada penghujung pentadbirannya yang pertama sebagai perdana menteri mengaku beliau gagal hendak mengubah orang Melayu. Orang Melayu tidak berubah seperti mana beliau mahu mereka berubah. Ditanya apa sebabnya, Dr Mahathir berkata: “Tanya mereka.”
“Hendak tunjuk teladan sudah tunjuk, nak tunjuk ajar sudah ajar, marah sudah, menangis sudah, baca doa pun sudah. Semua saya dah buat,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, sekitar Jun 2002.
Seminggu selepas wawancara itu terbit, semasa berucap menutup Perhimpunan Agung Umno, Dr Mahathir mengumumkan letak jawatan perdana menteri dan presiden parti.
Hari ini, Dr Mahathir dek takdir Tuhan jadi perdana menteri sekali lagi. Masalah di mejanya, walaupun ditokok dengan hutang negara dan skandal 1MDB, masih juga sama – bagaimana hendak mengubah orang Melayu dan bumiputera.
Tetapi keadaan sudah tidak sama lagi. Peta politik Malaysia sudah berubah. Suhunya juga sudah berubah. Masalahnya masih sama tetapi suasana persekitaran masalah itu tidak lagi serupa.
Mengubah nasib dan menentukan masa depan orang Melayu dan bumiputera sekarang dihadapkan dengan satu dilema yang lain pula.
Dr Mahathir sendiri sebelum lebih lantang mengkritik pentadbiran Najib Razak mengakui akan dilema ini.
Dilemanya ialah banyak orang apologetik untuk bercakap tentang nasib Melayu dan bumiputera kerana tidak mahu dianggap sebagai perkauman. Mereka yang berani menyentuh mengenainya memang pula dicap sebagai rasis.
Inilah dilema baru Dr Mahathir dan kerajaan Pakatan Harapan, sama seperti yang dihadapi oleh pentadbiran Umno dan Barisan Nasional pada tahun-tahun akhir sebelum kalah pilihan raya.
Najib semasa baru jadi perdana menteri memperkenalkan dasar ekonominya yang dinamakan Model Ekonomi Baru. Kongres ekonomi bumiputera yang dianjurkan tidak lama selepas itu pada Mei 2010 menolak model ekonomi itu.
Najib yang memulakan pentadbirannya dengan menempatkan politiknya di garis tengah perlahan-lahan kembali bergerak ke kanan kerana tekanan kumpulan pendesak Melayu dan bumiputera.
Hari ini, kumpulan pendesak yang sama jadi jurubicara dalam kongres yang membincangkan isu yang sama tetapi kerajaannya sudah bukan lagi ditunjangi Umno.
Inilah antara yang menarik untuk diperhatikan.
Wacana tentang sosio ekonomi Melayu dan bumiputera hari ini akan mencorakkan suhu politik Malaysia untuk beberapa minggu akan datang.
Lebih menarik kerana pada hari ini juga pemimpin Umno menganjurkan perhimpunan di Pasir Salak untuk membangkitkan kesedaran Melayu terhadap apa yang didakwanya sebagai kecabulan kerajaan Pakatan Harapan.
Minggu akan berganti bulan, bulan berganti tahun, dan pilihan raya akan tiba sekali lagi. – 1 September, 2018.
* Azam seorang wartawan dengan The Malaysian Insight. Anda boleh mengikutinya di Twitter . E-mel: [email protected]
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen