DAP hari ini menggesa Pendaftar Pertubuhan (RoS) menjelaskan mengapa tiada maklumbalas berhubung surat yang dihantar parti itu pada 21 Julai mengenai pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo berkata RoS sering lambat memberi maklum balas berkaitan perkara yang melibatkan parti itu.
“Saya mahu RoS memberi penjelasan mengapa sering menangguhkan perkara membabitkan DAP. Pertama, mereka perlu empat tahun untuk buat keputusan, selepas itu mereka perlu 10 hari untuk hantar surat kepada kami mengenai keputusan itu. Sekarang ada penangguhan lagi.
“Kelewatan ini menjejaskan kita. Kita tidak boleh teruskan pemilihan semula tanpa respon daripada RoS. Jadi, saya minta RoS untuk lebih profesional dan hentikan penangguhan, hantarkan kami maklum balas tanpa sebarang penangguhan,” katanya pada sideng media di Parlimen.
DAP setuju untuk mematuhi arahan RoS agar mengadakan pemilihan baru pimpinan pusat namun meminta bukti dakwaan penyelewengan yang membatalkan pemilihan CEC sebelum ini.
DAP mengadakan CEC kedua pada September 2013 selepas pemilihan pertama pada Disember 2012 tidak diiktiraf RoS susulan aduan daripada ahlinya.
Gobind hari ini berkata parti itu tidak dapat meneruskan pemilihan semula sebagaimana syarat yang RoS kenakan untuk melantik badan bebas bagi menyemak semula pemilihan itu dengan kelulusan RoS.
“Jadi, kita sudah tulis semula surat kepada mereka, dan berikan nama tetapi surat itu meminta kelulusan mereka, jadi mereka perlu luluskannya.
“Sebelum atau selagi mereka tidak luluskan, kita tidak boleh teruskan,” katanya.
Dala surat yang dihantar kepada RoS, Teresa Kok yang merupakan setiausaha penganjur kebangsaan dari 2008 hingga 2012 berkata, parti itu sedia mengadakan semula pemilihan CEC menerusi kongres khas mengikut perlembagaan parti.
Juruaudit bebas, PKF Consulting, juga dilantik untuk memantau dan menjalankan pemilihan semula itu, menurut surat itu.
Kok yang kini naib pengerusi DAP kebangsaan berkayta, keputusan untuk mengadakan pemilihan semula itu kerana PRU-14 akan diadakan tidak lama lagi. PRU-4 mesti diadakan menjelang Ogos 2018. – 31 Julai, 2017.
Komen