KRISIS penduduk Kampung Mutiara di Batu Feringghi akhirnya menemui jalan penyelesaian hasil rundingan antara Umno, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Penduduk terbabit dijadualkan mengosongkan tanah mereka hari ini, namun diberikan tempoh lanjutan selama tiga bulan hasil rundingan itu.
Wakil daripada kedua-dua pihak dilihat mengetepikan perbezaan politik dalam mencari penyelesaian terhadap isu yang berlarutan sejak lebih 12 tahun lalu.
Mereka bagaimanapun menemui kata sepakat dengan pemilik tanah berikutan rundingan yang diadakan malam itu.
Rumah sementara sekarang, apartmen baru kemudian
Ketua Umno Bukit Bendera Ahmad Ismail berkata penduduk akan dipindahkan ke kediaman sementara di Sri Tanjung Pinang di Tanjung Tokong, sementara agensi kerajaan UDA membina apartmen untuk mereka.
“Kami berterima kasih kepada UDA kerana menyediakan kediaman. Rumah ini siap dengan sijil layak menduduki namun hak strata masih belum siap, jadi kita tidak boleh serahkan kunci lagi.
“Kita akan menghubungi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Noh Omar, dan minta beliau dan jadikan ia sebagai kes khas,” katanya.
Ahmad berkata, apartmen yang akan diberikan kemudian sebagai sebahagian daripada projek pembangunan UDA, diberikan kepada penduduk Kampung Mutiara sebagai kediaman tetap mereka, dan untuk menyelesaikan masalah perumahan penduduk lain di Batu Feringghi bagi memberi laluan kepada pembangunan.
“Terdapat dua lot tanah berkeluasan 5.1 ekar. UDA akan membina apartmen baru kepada 70 keluarga penduduk Kampung Mutiara, serta 500 lagi penduduk sekitar.
“UDA menerima RM10 juta daripada kerajaan persekutuan. Kita masih kekurangan RM20 juta. Apabila Perdana Menteri Najib Razak melawat Pulau Pinang pada 17 Ogos depan, kita akan ajukan permasalahan ini kepada beliau, katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, setakat ini tiada pelan yang dibuat namun mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan, dan menambah mereka turut merancang untuk menyediakan unit apartmen itu secara percuma.
Kerjasama Pakatan, Umno dan kerajaan persekutuan
Ahmad berkata, mereka mencapai kata sepakat dengan kerajaan negeri yang akan membantu projek itu untuk kemudahan rakyat.
Katanya, dia juga memberi dua cek kepada pemilik tanah masing-masing bernilai RM50,000 sebagai “pampasan dan jaminan”.
“Pemilik tanah mengadu terpaksa menanggung kerugian kerana membayar sewa selama bertahun-tahun tanpa sebarang pembangunan di tanahnya. Pendahuluan RM50,000 adalah untuk kerugian itu.
“RM50,000 lagi adalah sebagai deposit, untuk jaminan penduduk akan berpindah. Sekiranya ada penduduk yang enggan berpindah, dia akan menyimpan wang itu,” katanya.
Ahmad turut menggesa penduduk agar menghormati perjanjian yang dicapai, dan timbalan ketua menteri II Mohad Rashid Hasnon setuju sesiapa yang enggan perlu berdepan dengan pemilik tanah sendiri dan tidak akan ditawarkan rumah UDA.
“Penduduk kampung perlu menandatangani perjanjian. Saya berharap mereka berbuat demikian minggu ini.”
Sementara itu, kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk membatalkan notis awal 27 Julai kepada pemilik tanah untuk memperoleh tanahnya di Kampung Mutiara untuk perumahan awam di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah.
Rashid yang berperanan memujuk pemilik tanah untuk berunding berkata, dia bimbang kerajaan negeri akan pergunakan undang-undang untuk menghalang rancangannya memajukan tanah berkenaan untuk membina rumah kepada ahli keluarganya.
Katanya isu penduduk kampung itu sebelum ini gagal mencapai penyelesaian kerana semuanya dibuat melalui mahkamah.
“Kita juga perlu menghormati keputusan mahkamah (memihak kepada pemilik tanah). Penyelesaian yang dicapai hari ini adalah yang terbaik. Kita harap semua pihak menghormatinya.
“Suatu hari, bila apartmen itu siap, penduduk boleh kembali ke sini,” kata Rashid.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, dia gembira selepas masalah yang berlaritan sejak 12 tahun lalu akhirnya menemui jalan penyelesaian.
Katanya kerajaan negeri campur tangan dalam urusan itu dua tahun lalu sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah dan membantu penduduk kampung.
Tidak keruan lebih sedekad
Hampr 12 tahun penduduk Kampung Mutiara, yang tinggal di tanah itu sejak bergenerasi lagi, jadi tidak keruan selepas dilaporkan pemilik tanah membeli tanah itu pada 2006.
Pemilik tanah kemudiannya mengambil tindakan undang-undang untuk menghalau penduduk tanpa menawarkan pampasan pada 2012.
Penduduk kemudiannya memfailkan injunksi untuk menghalang pemilik tanah daripada mendapatkan perintah mahkamah pada 2015. Permohonan itu bagaimana pun ditolak.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri mengumumkan tiada permohonan untuk pembangunan daripada pemilik tanah diluluskan sekiranya dia gagal menyelesaikan masalah penduduk.
Penduduk kemudiannya membawa kes mereka ke Mahkamah Rayuan, namun mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas.
Penduduk cuba bertahan daripada setiap cubaan pengusiran, termasuk pada pagi ini apabila pegawai mahkamah dan polis tiba di kampung itu.
Batang pokok dan kereta digunakan untuk menghalang laluan sempit menuju ke kampung itu dan keadaan mula menjadi tegang apabila penduduk berkumpul untuk membantah.
Kami tidak akan berganjak
Beberapa penduduk berkerusi roda berada di barisan hadapan seperti Saadiah Mat Isa, 94 yang berkata dia tidak akan tinggalkan rumahnya walaupun kerana wang.
“Saya tinggal di sini sejak ibu bapa saya masih hidup. Saya bukan setinggan. Tidak, saya tidak mahu pindah,” katanya.
Seorang lagi penduduk Latipah Din, 58 berkata, dia membesarkan enam anaknya di Kampung Mutiara.
“Kalau kita tidak lawan untuk selamatkan Kampung Mutiara sekarang, apa akan jadi pada kampung lain pada masa akan datang?
“Terdapat empat buah kampung di sini: Kampung Masjid, Din Bamboo, Chetty, dan Che Ahmad. Terdapat lebih 1,000 penduduk.
“Sejak awal lagi pemilik tanah sangat kasar. Kalau dia tawarkan rumah ganti, keadaan tidak akan jadi seperti ini,” katanya ketika ditemui semasa bantahan sebelum rundingan akhir dibuat.
Terima kenyataan
Dengan kediaman sementara yang hampir siap untuk penduduk berpindah, ramai yang berubah fikiran dan menarik nafas lega.
Zawiyah Ismail, 62, yang pada awalnya enggan keluar berkata, dia menerima penyelesaian itu.
“Kalau mereka cakap akan bagi rumah, jadi kami kena terima sama ada suka atau tidak..selagi kami boleh datang dan menetap di sini.
“Seluruh hidup kami adalah di sini. Masjid kami, tanah kubur kami semua di sini. Di sinilah tempat kami hidup dan mati,” katanya yang berkerusi roda.
Rokiah Ali 62, yang tinggal di Kampung Mutiara sejak berkahwin pada beberapa dekad lalu bersyukur kerana tidak menjadi gelandangan.
K. Govindarajoo 61 yang juga berkerusi roda berkata dia tinggal di kampung itu sejak 1973 dan memikirkan pemindahan itu sangat menakutkan.
Isterinya terlantar sakit katanya dan berpindah merupakan satu realiti yang perlu mereka hadapi.
“Kita akan dapat rumah sementara buat masa ini, jadi kita kena terima,” katanya. – 31 Julai, 2017.
Komen