SEKUMPULAN individu disyaki pengikut Syiah ditahan dalam satu serbuan dijalankan pihak penguatkuasa agama Kelantan ke atas satu premis di Kota Bharu pada malam tadi.
Operasi berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Bharu Ismail Mat Sidik ketika dihubungi The Malaysian Insight hari ini.
Ismail berkata polis bertugas membantu penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam aspek keselamatan ketika operasi tersebut dijalankan tengah malam tadi.
“Kami cuma membantu jabatan kerajaan untuk keselamatan mereka. Itu saja,” katanya apabila ditanya sama ada pihak polis turut terlibat dalam serbuan itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan diminta supaya merujuk kepada Jaheaik.
Dalam operasi di ambang sambutan Hari Kemerdekaan itu, seramai 10 orang lelaki dan wanita itu ditahan di premis yang terletak di Jalan Sri Cemerlang, lapor portal Free Malaysia Today.
Individu disyaki pengikut Syiah yang ditahan itu seterusnya dibawa ke satu balai polis berhampiran.
Menurut FMT, seramai 20 pegawai Jaheaik dalam operasi itu turut merampas beberapa barangan termasuk bahan bacaan dari pusat tersebut.
Majlis Fatwa Kebangsaan dalam pada 1996 menolak fahaman Syiah sebagai fahaman sesat. – 31 Ogos, 2018.
Komen