Putrajaya perlu hantar peguam pantau saman DoJ, kata DAP


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, keengganan kerajaan menghantar wakil untuk memantau saman Jabatan Kehakimanan AS memberi gambaran tidak baik kepada negara dan menggesa Perdana Menteri Najib Razak mempertimbangkan semula keputusan itu dengan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2017.

PUTRAJAYA bersikap tidak bertanggungjawab kerana tidak menghantar peguam untuk memantau saman difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mendapatkan semula aset yang dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata ahli Parlimen DAP hari ini.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, ia tidak dapat diterima dan tidak memberi gambaran baik kepada negara serta menggesa Perdana Menteri Najib Razak mempertimbangkan semula keputusan itu dengan segera.

“Malaysia perlu terlibat dalam saman ini, yang melibatkan berbilion ringgit. Kes ini akan melibatkan proses di mana terdapat bukti yang boleh mengaitkan liabiliti jenayah atau sivil terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

“Ia sangat tidak bertanggungjawab bagi kita untuk tidak berbuat apa-apa dalam keadaan ini,” kata Gobind pada sidang akhbar di Parlimen hari ini sebagai respons kepada jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said.

Gobind juga menambah peguam negara, yang juga penasihat Kabinet perlu berusaha agar ada wakil perundangan negara dihantar.

“Hakikatnya, ketiadaan dakwaan jenayah difailkan terhadap mana-mana individu, tidak bermakna kita perlu menunggu tanpa sebarang tujuan sehingga sesuatu berlaku.

“Kita harus proaktif terutamanya apabila ia melibatkan begitu banyak wang dan menjadi perkara ini meraih publisiti secara global,” katanya.

Azalina berkata, Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai rancangan menghantar peguam untuk memantau saman DoJ.

Beliau berkata kerajaan menghormati hak DoJ untuk mengambil tindakan undang-undang dalam bidang kuasa undang-undangnya.

“Dengan rasa hormat, jawapan Azalina Othman tidak masuk akal kerana peraturan undang-undang dan menghormati undang-undang Amerika Syarikat tidak menghalang kita daripada melantik peguam di sana untuk memantau prosiding bagi pihak kita,” kata Gobind.

Azalina berkata tindakan saman sivil DoJ berada dalam bidang kuasa mahkamah AS. Tiada dakwaan jenayah terhadap mana-mana individu dan juga tiada keputusan mahkamah dibuat berkaitan perkara itu.

“Oleh itu, Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk menghantar pasukan peguam ke Amerika Syarikat sebagai pemerhati dalam prosiding sivil yang difailkan DoJ,” kata Azalina dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 24 Julai. – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen