RATA-rata anak muda yang kali pertama mengundi dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu mengaku lebih bersemangat untuk meraikan Hari Kebangsaan pada kali ini.
Bagi mereka, sambutan tahun ini lebih bermakna dari sebelumnya kerana inilah kali pertama kerajaan Malaysia bertukar sejak negara mencapai kemerdekaan enam dekad lalu.
Bagi Teh Pei Thing, 24, sebelum perubahan kerajaan pada 9 Mei, beliau seperti anak muda lain berasa negara ini sudah harapan lagi jika terus ditadbir Barisan Nasional.
“Ramai di kalangan kita tidak suka dengan kerajaan lama dan rasa seperti nak pindah (negara). Bakat sedia ada tidak dihargai.
“Anda rasa seperti anda tidak mempunyai peluang dan tidak boleh kembangkan potensi,” kata guru tuisyen itu ketika mengimbau semula perasaannya waktu itu.
Namun perasaannya kembali berkobar-kobar apabila kerajaan baharu dibentuk menggantikan BN, menjadikannya lebih bersemangat untuk menyambut Hari Kemerdekaan.
“Saya rasa lebih bersemangat tahun ni. Saya rancang untuk letak Jalur Gemilang kecil di rumah saya memandangkan sambutan Merdeka dah dekat.
Beliau sedar kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan hanya berusia sekitar empat bulan, nanun beliau lebih optimistik tentang masa depan negara ditadbir Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Saya tak nampak lagi perubahan yang besar. Ia masih awal untuk mengetahui sebagus mana pentadbiran baru ini mentadbir. Tapi sekurang-kurangnya sekarang saya tahu yang kita semua ada harapan,” katanya.

Seorang lagi pengundi muda, Saiyidah Zafirah Muhd Zafri dari Setapak, Kuala Lumpur juga bangga menjadi sebahagian daripada ejen perubahan pada 9 Mei lalu.
Katanya pilihan yang dibuatnya dalam pilihan raya umum tersebut bertujuan untuk memperbaiki negara demi perubahan dan membuatkannya lebih bersemangat menyambut Hari Kemerdekaan.
“Kita hendak baiki apa yang patut untuk Malaysia baru. Pengundi muda macam saya letak harapan tinggi untuk perubahan itu,” kata guru berusia 24 tahun itu.
“Sebagai pengundi pertama memang tidak sabar sambut merdeka sebab kita boleh rasakan semangat kali ini melambangkan kita sebagai rakyat Malaysia bersatu,” kata Saiyidah lagi.
Beliau turut mengibarkan bendera di hadapan rumah serta di kereta dan akan menyaksikan sendiri perarakan hari kemerdekaan di Putrajaya hari ini buat pertama kali.
Pengudi muda seperti Teh dan Saiyidah membentuk 17% daripada 14.9 juta pengundi yang layak mengundi dalam PRU14.
Jumlah pengundi muda yang berusia di antara 21 hingga 29 tahun ini paling ramai dicatatkan di Johor dan Selangor.

Seorang lagi anak muda, Nur Laila Rahmat mengakui tidak pernah berminat untuk memasang Jalur Gemilang di kenderaannya sebelum ini kerana melihatnya sebagai simbol sokongan kepada BN.
Namun selepas kerajaan bertukar tahun ini, beliau merancang untuk memasang bendera dan akan turut menyaksikan perarakan Hari Kemerdekaan
“Tahun sebelum ini tak terasa sangat sebab kalau letak (bendera), orang tidak nampak itu satu simbol patriotik atau sayang negara tapi lebih kepada sokong kerajaan dulu (BN).
“Saya agak seronok pertama kali mengundi dan jadi sebahagian (faktor) ubah kerajaan sebab sebelum ni (PRU13) saya dah daftar tapi (nama tidak masuk dalam daftar pemilih),” kata Nur Laila, 28.
Turut bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang adalah Nurul Ihsani Abd Ghani, 24, yang akan berazam berbuat demikian di puncah Gunung Serapi, Sarawak pada Hari Kemerdekaan hari ini.

“Tahun ni rasa bersemangat lain macam sebab kita dah tukar pemimpin. Bukan pemimpin lama tu lagi,” kata pelajar antropologi dan sosiologi di Universiti Malaysia Sarawak itu ketika ditemui baru-baru ini.
Namun berbeza pula bagi seorang anak muda dari Kajang, Aqil Junaidi, 24 yang berpendapat seseorang itu tidak perlu menunjukkan patriotisme dan cinta kepada negara dengan hanya mengibarkan bendera.
“Saya percaya kita akan lakukan yang terbaik untuk berkhidmat demi rakyat dan masyarakat setempat.
“Kita perlu tunjukkan betapa cintanya kita kepada Malaysia dengan melakukan perkara-perkara bermakna seperti membantu orang ramai,” katanya yang bekerja di satu NGO.
Bagaimanapun beliau tetap berasa lega dan berpendapat suasana pada tahun ini lebih aman berbanding sambutan merdeka tahun lalu.
“Ia seperti kita menyambut Merdeka 2.0. Merdeka yang pertama kali ketika bebas dari penjajah. Kali ini, kita bebas daripada kita sendiri iaitu dari kerajaan terdahulu,” katanya. – 31 Ogos, 2018
Komen