DAP gesa Zahid tarik balik kenyataan berhubung anak luar nikah


Asila Jalil

Penasihat DAP Lim Kit Siang menggesa Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataan berhubung anak luar nikah yang didakwa sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 26 Julai 2017.

DAP menggesa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataannya berhubung fatwa yang menghalang anak luar nikah diberikan nama bapa terhadap susulan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Penasihat parti itu, Lim Kit Siang berkata, Zahid yang juga menteri dalam negeri tidak menghormati sumpahnya sebagai timbalan perdana menteri dan juga ahli Parlimen untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan sesiapa yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu ditentang.

“Zahid perlu menarik balik kenyataannya yang mencabar Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan dan dia perlu meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan ahli Parlimen sekiranya tidak bersedia untuk “memelihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan Malaysia, termasuk Artikel 4 berhubung ketuanan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia,” katanya pada pemberita dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Lim berkata dia “terkejut” dengan kenyataan Zahid kerana fatwa atau pindaan tiada kuasa untuk undang-undang itu.

Dia berkata, Zahid juga dilihat mencabar kuasa mahkamah sivil untuk membuat keputusan yang memberi kesan terhadap kehidupan dan kebebasan rakyat Malaysia.

Zahid pada Sabtu menyokong Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan membenarkan anak luar nikah membawa nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Katanya JPN perlu mematuhi fatwa kerana ia membabitkan orang Islam.

Lim turut menyelar Ketua Pengarah JPN Mohd Yazid Ramli yang berkata jabatan itu tidak akan patuh keputusan mahkamah sementara menunggu keputusan rayuan.

“Ini jelas salah, dan penghinaan mahkamah dengan sengaja – hukuman ke atas penghinaan mahkamah adalah penjara.

Lim berkata kenyataan pemimpin kerajaan dan tindakan daripada jabatan itu memberi kesan kepada Malaysia.

“Tiada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dalam masa 60 tahun ini melanggar sumpah atau bertindak menghina Perlembagaan Malaysia. – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen