BELIA berusia 21 hingga 30 tahun semakin kurang teruja selepas 100 hari Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan, kata penyelidik.
Pembantu penyelidik Merdeka Centre Ehsan Shahwahid berkata keadaan ini berlaku selepas melihat realiti politik dan cabaran yang dihadapi PH.
“Seminggu selepas pilihan raya, keterujaan itu amat tinggi. Kami tidak tahu berapa banyak ia berkurangan kerana kami belum membuat kajian, tetapi berdasarkan kepada pemerhatian umum, kami boleh katakan berlaku penurunan berdasarkan komen di media sosial dan perbicangan.
“Pada awalnya, belia memang cukup teruja tetapi berkurang selepas mereka melihat realitinya. Kerajaan Pakatan Harapan berdepan cabaran baharu,” kata Ehsan.
Menurutnya, belia hanya berpuas hati dengan PH pada 3 minggu pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bercakap pada forum bertajuk “Belia: Bolehkah mereka mengubah politik Malaysia?” malam tadi, Ehsan berkata belia amat berpuas hati walaupun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad belum mengumumkan Kabinet penuh tetapi memenuhi janji pilihan raya PH seperti memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Belia cukup bersemangat pada 100 hari pertama apabila beberapa janji masifesto ditunaikan. Ketika ini, agak sukar untuk PH mengatakan tahap keyakinan sama seperti beberapa minggu selepas PRU14.
“Pada ketika ini semakin banyak dasar kerajaan dikritik. Ini berdasarkan komen-komen di media sosial tetapi masih belum ada kajian dibuat,” katanya.
Merdeka Centre menjalankan kaji selidik menerusi telefon pada 16 Mei hingga 31 Mei ke atas 2,209 responden di 222 kawasan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 558 pengundi berumur 21 dan 30 tahun.
52% responden adalah Melayu, Cina (28%) dan India (7%).
Kajian serupa yang dijalankan oleh Iman Research juga menunjukkan belia mengundi PH kerana mahu mengubah kerajaan yang korup.
“Belia bosan dengan kerajaan terdahulu yang korup dan mereka mahu menukar pemimpin lama,” kata Pengarah Iman, Badrul Hisham Ismail.
Beliau berkata belia amat berpuas hati apabila peralihan kerajaan berlaku.
“Mereka gembira dengan perasaan bebas dan lebih terbuka yang mereka perolehi menerusi perubahan itu.
“Jadi PH perlu mengekalkan dan mengembangkan kebebasan ini, dan melibatkan belia dalam demokrasi Malaysia,” katanya di ibu pejabat Iman Research di Wisma Sentral semalam. – 31 Ogos, 2018.
Komen