Semangat Merdeka masih satu impian kepada masyarakat pribumi Malaysia 


Sheridan Mahavera Jason Santos

HARI kemerdekaan tahun ini mungkin lebih signifikan di bawah pentadbiran kerajaan baharu tetapi bagi penduduk asal negara ini, Orang Asli, masih terlalu awal untuk merasakan “merdeka” atau kebebasan. 

“Kami tidak rasa nikmat Merdeka kerana hak kami dinafikan dan dirampas. Apa perasaan Merdeka?” kata Mustafa Along, Orang Asli dari suku Temiar di Gua Musang, Kelantan. 

Di seluruh negara, tuntutan terhadap tanah yang digunakan suku mereka sejak berabad lalu diancam walaupun terdapat “Malaysia Baru” di bawah Pakatan Harapan.

Namun terdapat sinar harapan. Kerajaan Pakatan Harapan menyatakan ia komited untuk menyelesaikan masalah tuntutan tanah ini dan ia akan melibatkan komuniti itu dalam rundingan. 

Ini merupakan perbezaan ketara daripada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, yang biasanya menyisihkan isu sebegini dengn alasan hak tanah adalah perkara individu. 

Masyarakat Orang Asli yang tinggal di bawah pentadbiran kerajaan negeri PH juga merasakan masalah mereka tidak lagi diabaikan mereka yang berada di tampuk kuasa. 

“Kerajaan baharu membawa harapan dan penetapan semula kepada semua pihak,” kata aktivis Orang Asal dari Sabah, Adrian Lasimbang. 

Aktivis Orang Asal dari Sabah, Adrian Lasimbang. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2018

“Mungkin suara Orang Asal akan didengar kali ini,” katanya yang juga dari etnik Kadazan Dusun dari Penampang. 

Bagi etnik lain, roda perubahan masih lagi berputar perlahan dan mereka dipaksa untuk menentang yang membawa kepada ketidaktaatan awam bagi menjaga apa yang tinggal dalam tuntutan mereka.

Aktivis dari suku Temiar di Gua Musang menyambut Merdeka dalam keadaan berjaga-jaga daripada pembalak dan peladang yang didakwa memusnahkan hutan di tanah adat mereka. 

Sekatan yang dibuat untuk menghalang penerokaan hutan dirobohkan oleh kerajaan Kelantan. 

Sekatan itu bagi memastikan hutan tidak dimusnahkan sementara mereka menunggu kerajaan Kelantan dan persekutuan selesai dalam rundingan mereka. 

“Kami hanya akan hentikan sekatan apabila mendapat keputusan tegas dan operasi syarikat terlibat dihentikan,” kata Mohd Nur Syafiq Dendi Abdullah yang mengetuai sekatan itu selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada 10 Ogos lalu. 

Aktivis Orang Asli suku Temiar dari Gua Musang, Mohd Nur Syafiq Dendi Abdullah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2018

Latar belakang 

Masyarakat pribumi di Semenanjung sering menggunakan istilah Orang Asli manakala orang-orang di Sabah dan Sarawak lebih suka Orang Asal.

Tanah adat, biasanya terdiri daripada beberapa ekar tanah di kawasan hutan, yang kepentingannya sama seperti kepentingan bandar bagi masyarakat bandar di Malaysia. 

Sama seperti bandar, kawasan hutan inilah yang menjadi klinik, pasar raya, kuil, sistem bekalan air, tapak pembinaan, sekolah dan kawasan rekreasi bagi masyarakat Orang Asli atau Orang Asal. 

Jadi, apabila syarikat perladangan meneroka hutan ini, kemarahan Orang Asli adalah sama seperti apabila taman rekreasi bandar dimusnahkan untuk pembinaan projek kondominium. 

Walaupun mahkamah menyatakan, penduduk pribumi boleh menuntut “tanah adat”, setiap negeri mempunyai undang-undang berbeza. 

Galus Ahtoi, Kadazan Dusun dari Kampung Bundu berkata kebanyakan masyarakat pribumi masih rasa tertipu walaupun terdapat undang-undang mengenai tanah adat. – Gambar The Malaysian Insight, 31 Ogos, 2018

Walaupun di negeri yang memiliki undang-undang tanah adat yang spesifik seperti Sabah dan Sarawak, penduduk pribuminya masih rasa tertipu.

“Realitinya masih kekal yang mana tindakan kerajaan, beberapa pegawai dan kakitangan yang terus menafikan hak Orang Asal,” kata Galus Ahtoi, Kadazan Dusun dari Kampung Bundu, Tambunan. 

“Kebanyakan dari kami masih berjuang dan mempertahankan sumber pencarian kami berikutan kerajaan yang menafikan hak kami dan menyerahkannya kepada syarikat perladangan dan orang luar.”

Terdapat juga masalah dengan keperluan asas seperti sekolah, jalan raya dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Keadaan sekolah untuk Orang Asal di Sarawak sangat teruk,” kata Philip Tero, dari etnik Iban yang sering brulang alik dari Bintulu dan Kuching.

Orang-orang Dayak, yang merupakan komuniti majoriti di Sarawak, juga berasa terpinggir dari pasaran pekerjaan tempatan, kata Tero.

“Kira-kira 60% guru adalah dari Malaysia Barat. Malah perkhidmatan awam di Sarawak juga didominasi orang Melayu. Mengapa Dayak tidak diberi lebih banyak peluang?”

Harapan baru

Kebanyakan mereka yang ditemu bual menyatakan kekesalan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sejak 60 tahun lalu.

Menurut mereka, kerajaan BN hanya memekakkan telinga dengan rayuan mereka. Jadi mereka amat mengharapkan kerajan PH dapat perbetulkan kesilapan sebelum ini. Ini sudahpun berlaku di beberapa tempat seperti di Perak. 

“Bekas kerajaan BN tidak peduli tentang kebajikan kami. Mereka langsung tidak datang menjenguk kami,” kata Bahalang Bangah dari Kampung Ulu Geruntum di Gopeng, Perak.  

Sebaliknya, perkampungan suku Semai menerima lawatan daripada Menteri Besar Perak dari PH yang baharu Faizal Azumu dan pegawai kerajaan negeri dalam 100 hari pentadbiran PH. 

Kerajaan negeri juga telah menghentikan dan mengkaji semula projek mikro-hidro di Gopeng berikutan kebimbangan masyarakat yang ia akan memusnahkan sungai yang menjadi sumber bekalan air mereka.

Walaupun di Gua Musang, di mana suku Temiar nampaknya kalah dalam pertikaian terhadap kerajaan Kelantan dan syarikat perladangan, aktivisnya dilihat terpukau oleh keprihatinan kerajaan persekutuan PH.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Sivarasa Rasiah telah melawat sekatan dan menyatakan sokongan terhadap hak masyarakat itu untuk melindungi tanah adat mereka. 

Beliau juga berkata Putrajaya akan mula berunding dengan kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan isu tanah adat itu. 

Tetapi walaupun mereka bergembira dengan komitmen baru Putrajaya, masyarakat pribumi ini memahami batasan-batasan itu dan sejak itu telah menguruskan jangkaan mereka.

“Ia hanya 100 hari dan kita tahu janji ini memerlukan masa untuk ditunaikan. Saya harap kerajaan PH serius dalam komitmennya,” kata Bahalang. 

Dakwaan kesalahan kerajaan BN perlu diperbetulkan sebelum Orang Asli dan Orang Asal dapat merasakan nikmat Merdeka, kata Tero, yang merupakan etnik Iban.

“Dan jika penduduk pribumi Malaysia tidak merasakan nikmat sebenar ‘merdeka’, bolehkah Hari Merdeka itu sendiri bermakna?” – 31 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen