PBT Kelantan terlebih bayar set 'walkie-talkie' 6 kali ganda


Sheridan Mahavera

Laporan siri pertama Ketua Audit Negara 2016 memeriksa aktiviti lima agensi dan syarikat berkaitan kerajaan di Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2017.

SET alat komunikasi “walkie talkie” bernilai enam kali ganda daripada harga sebenar adalah antara pembayaran dan pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan, menurut laporan siri pertama Ketua Audit Negara 2016.

Siasatan audit terhadap Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) juga mendapati ia terlebih membayar bagi sut labuh atau jaket serta sewa jengkaut dan lori.

Laporan itu juga menegur MDPM kerana tidak menggunakan “washing bay” RM33,800 dibina pada 2014.

Kesalahan ini diperincikan dalam laporan audit yang memeriksa aktiviti lima agensi dan syarikat berkaitan kerajaan di negeri diperintah PAS itu.

Ia mendapati MDPM membayar RM4,699 bagi set “walkie talkie” antara 2014 hingga September 2016, sedangkan nilai sebenar hanyalah RM750, bermakna MDPM membayar lebih RM3,949.

Bagi sut labuh, pihak majlis membayar RM78,220 sedangkan harga sebenar adalah RM47,400, menjadikan ia terlebih bayar sebanyak RM30,820.

Majlis juga menyewa jengkaut dan lori sebanyak RM16,000 apabila kadar sebenar adalah RM8,000.

Jumlah keseluruhan bagi lebihan yang dibayar adalah RM42,769.

“Ini berlaku kerana tiada pemeriksaan pada jadual kerja bagi sewaan jengkaut dan lori sebelum pembayaran dibuat,” kata laporan itu.

“PBT juga berasa ia mempunyai kawalan autonomi ke atas dana majlis dan tidak terikat dengan peraturan kewangan yang dikeluarkan kerajaan persekutuan dan negeri.”

Sebagai respons, MDPM mengeluarkan surat pada 13 Februari 2017 bagi meminta bayaran balik daripada kontraktor.
Tiada bayaran berganda berlaku kerana terdapat dua kontraktor terlibat dalam penyewaan jengkaut dan lori, kata pihak majlis.

Pembelian sut labuh, kata MDPM adalah mengikut keputusan majlis yang menetapkan harga siling RM40,000 bagi barangan itu.

Bagaimanapun, tiada penjelasan diberikan bagi harga “walkie-talkie” yang berlebihan itu.

“Pada pendapat pihak pengaudit, terdapat bayaran tidak wajar bagi barangan dan perkhidmatan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan.”

Berhubung “washing bay” yang tidak digunakan, MDPM berkata ia menghentikan penggunaan kemudahan itu selepas banjir besar melanda Kelantan pada Disember 2014. – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen