SEBUAH kumpulan anti rasuah antarabangsa mempersoalkan sumber kekayaan Allahyarham Jamaluddin Jarjis selepas terbongkar asetnya bernilai RM2.1 bilion.
Pengerusi Transparency International-Malaysia Akhbar Satar berkata bekas menteri itu bukanlah berasal dari keluarga kaya raya dan tidak mempunyai sumber pendapatan pekerjaan profesional lain.
“Saya fikir sekarang rakyat percaya ahli politik ada banyak duit. Menteri ada banyak duit. Ini cuma satu kes.
“Ibunya mendakwa hanya RM2.1 bilion, itu menurut hukum Faraid tetapi kita tak tahu jumlah sebenar. Kita tak tahu berapa bilion.
“Dari mana beliau dapat wang tersebut? Beliau bukan dari latarbelakang keluarga kaya,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui.
Ibu kepada Allahyarham Jamaluddin, Aminah Abdullah memfailkan permohonan sijil faraid semalam menuntut sebahagian daripada harta RM2.1 bilion tersebut.
Akhbar menambah yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat sumber kekayaan Jamaluddin.
“Sangat menyedihkan untuk negara. Jadi ahli politik patutnya jaga rakyat tetapi sebaliknya mereka mengayakan diri sendiri. Mereka (SPRM) perlu periksa semua aset,” katanya. – 30 Ogos, 2018.
Komen