MALAYSIA sudah menjadi contoh demokrasi dan memberi harapan baharu untuk rantau Asia Tenggara selepas peralihan kerajaan yang aman serta perjalanan pilihan raya yang baik pada 9 Mei lalu, kata satu kumpulan individu selepas pertemuan dengan perdana menteri hari ini.
Kumpulan lima orang itu diketuai oleh peguam kelahiran Singapura Tan Wah-Piow dan aktivis Hishammuddin Rais.
Tan yang meninggalkan republik itu sejak 1976 berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membawa harapan yang perubahan boleh berlaku menerusi kotak undi.
“Matlamat lawatan hari ini adalah untuk mengetahui visinya tentang hubungan masa depan antara Malaysia dan Singapura,” kata Tan selepas pertemuan sejam di Yayasan Kepimpinan Perdana itu.
Bersama-sama Tan adalah bekas perenang Singapura yang kini jadi aktivis Thum Ping Tjin.
Tan berkata mereka turut menjemput Dr Mahathir untuk menyampaikan ucaptama pada persidangan tahun depan. Persidangan itu akan dianjurkan sebuah kumpulan bukan kerajaan dikenali sebagai Force for the Renewal of South East Asia.
Tan yang kini menetap di United Kingdom bagaimanapun menafikan mereka meminta bantuan Malaysia untuk parti pembangkang Singapura.
Singapura adalah satu-satunya negara dalam dunia kini yang ditadbir parti politik sama sejak merdeka. Negara itu perlu mengadakan pilihan raya umum sebelum atau pada Januari 2021. – 30 Ogos, 2018.
Komen