BARISAN peguam bekas ketua agensi perisikan Hasanah Abdul Hamid membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengeluarkan kenyataan umum berhubung kes anak guaman mereka dan dakwaan penyelewengan wang kerajaan sebanyak AS$ 12 juta (RM49.5 juta).
Hasanah ditahan semalam dan direman sehingga Isnin tanpa dibenarkan mendapatkan khidmat peguamnya.
Peguamnya, Shaharudin Ali berkata semalam pihaknya hanya diberikan notis yang menyatakan Hasanah tidak boleh bertemu dengan peguam dalam tempoh reman.
“Kemudian hari ini, kami mendapati SPRM mengeluarkan banyak kenyataan yang menjejaskan klien kami,” kata Shaharudin dalam satu kenyataan.
“Beberapa kenyataan itu dipetik oleh pihak media. Ketika SPRM terus mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan Hasanah, kami tidak dibenarkan membantu atau mendapatkan arahannya dan bertindak balas.”
Peguam Hasanah berkata mereka diberikan notis di bawah Seksyen 28A(8) & (9) Kod Prosedur Jenayah semasa pendengaran reman di mahkamah majistret di Putrajaya semalam.
Katanya, notis itu bermaksud Hasanah tidak dibenarkan berhubung dengan peguam selama lima hari.
“Kami tidak boleh bersamanya untuk berunding atau memberi nasihat.”
Shaharudin berkata pihaknya akan mengemukakan prosiding terhadap SPRM di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan penyisytiharan bahawa notis tersebut tidak sah.
“Berdasarkan pandangan kami, siasatan SPRM melanggar undang-undang dan tanpa kehadiran kami, ia juga tidak sah,” katanya.
Hasanah ditahan untuk membantu siasatan susulan penahanan tujuh bekas pegawai tadbir diplomatik dari Jabatan Perdana Menteri.
Awal hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya merampas wang bernilai AS$6.3 juta dari beberapa lokasi susulan siasatan penyelewengan dana oleh bekas pegawai agensi perisikan.
Sejumlah wang bernilai AS$4.07 ditemukan di sebuah kondominium di Cyberjaya malam tadi. – 30 Ogos, 2018.
Komen