Pemilik tanah Sabah akan disiasat jika gajah cedera, mati di tanah mereka


Jason Santos

Penemuan seekor lagi gajah Borneo yang mati akibat perangkap di Ladang Dumpas baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2018.

PEMILIK tanah kini perlu berdepan siasatan pihak berkuasa jika terdapat gajah yang mati atau cedera akibat perangkap yang dipasang di tanah mereka.

Menteri Alam Sekitar, Kebudayaan dan Pelancongan Sabah, Christina Liew berkata Jabatan Hidupan Liar kini diberikan kuasa untuk memanggil pemilik tanah bagi siasatan di bawah Seksyen 33 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Seksyen 33 memperuntukkan larangan menggunakan perangkap untuk memburu.

“Jabatan tersebut kini diberi kuasa untuk menyiasat pemilik tanah jika insiden terbabit berlaku.

“Kita akan menyiasat pemilik tanah, syarikat peladangan, syarikat pembalakan dan pengendali unit pemuliharaan hutan negeri bagi menjawab kes kematian gajah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ulang tahun ke-50 kementerian itu di Kota Kinabalu.

Kementerian itu sebelum ini membangkitkan kebimbangan terhadap jumlah kematian gajah antara 10 hingga 25 ekor akibat kesan tembakan, cedera diperangkap dan terperangkap di lubang lumpur selama beberapa hari di kawasan peladangan atau hutan simpan berhampiran.

Jumlah kematian itu merupakan yang tertinggi melibatkan kematian gajah.

Dianggarkan kira-kira 2,000 gajah Borneo atau Pygmy masih berada di hutan di Sabah tetapi jumlah itu semakin berkurangan ekoran aktiviti peladangan.

Sebelum ini, Jabatan Hidupan Liar bersama pertubuhan bukan kerajaan meminta kesemua perangkap yang dipasang di sebuah ladang milik Felcra dihapuskan.

Gajah Borneo hanya boleh ditemui di Sabah dan tidak terdapat di mana-mana lokasi di dunia ini.

Di sebalik jumlah pembunuhan gajah yang semakin membimbangkan, tiada mana-mana pihak atau syarikat didakwa atas kesalahan itu setakat ini, kata Jabatan Hidupan Liar Sabah. – 30 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen