Petron bukan syarikat tunggal bekal bahan api kenderaan kerajaan


Chan Kok Leong

Kementerian Kewangan bersetuju melantik Petron Fuel International Sdn Bhd sebagai salah satu pembekal bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan melalui kad inden. – Gambar Wikipedia, 30 Ogos, 2018.

PETRON Fuel International (Petron) bukan syarikat tunggal yang membekal bahan api untuk  kenderaan kerajaan persekutuan, jelas Kementerian Kewangan.

Kenyataan kementerian itu menyebut, Petronas dan Shell masih kekal sebagai pembekal petrol dan diesel untuk kenderaan milik kerajaan sejak tahun 1997.

“Pelantikan Petron dibuat secara pentadbiran kerana ia adalah berkaitan dengan urusan operasi dan tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada Kerajaan.

“Melalui kelulusan ini, Kerajaan memperoleh lebih banyak pilihan di antara Petronas, Shell dan Petron dan dapat membuka peluang serta persaingan yang sihat di kalangan pembekal minyak petrol dan diesel.

“Kerajaan juga tidak mengehadkan jumlah pembekal di mana pembekal lain yang berwibawa dan mempunyai jaringan stesen di seluruh negara boleh memohon,” kenyataan itu dipetik.

Ia bagi menjelaskan kontroversi yang timbul ekoran penularan satu surat di media sosial berhubung pelantikan Petron dilantik sebagai satu daripada tiga pembekal bahan api kepada kerajaan.

Surat bertarikh 23 Ogos itu menyatakan kementerian itu bersetuju melantik Petron Fuel International Sdn Bhd sebagai salah satu pembekal bahan api untuk kegunaan kenderaan kerajaan melalui kad inden.

“MOF berharap pelantikan Petron akan dapat memberi pilihan dan alternatif yang lebih baik pembekal bahan api yang sedia ada,” jelas surat itu yang ditandatangani oleh seorang pegawai kanan kementerian, Suhaimi Endut.

Setakat pukul 4, nilai saham Petron meningkat sebanyak 13 sen kepada RM8.15 di Bursa Malaysia.

Petron merupakan syarikat pemasaran dan penapisan minyak terbesar di Filipina.

Syarikat itu memasuki pasaran Malaysia pada Mac 2012 apabila membeli saham Exxon Mobil.

Pada Januari 2013, Petron memulakan operasinya di Malaysia selepas melakukan penjenamaan semula ke atas Esso dan Mobbil di seluruh Semenanjung Malaysia.

Syarikat itu turut dikaitkan dengan anak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Mirzan Mahathir.

Pada 2010, majoriti saham Petron Filipina dimiliki oleh syarikat San Miguel Corporation (SMC) di mana Mirzan merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah.

Mirzan menjadi ahli lembaga pengarah apabila salah satu syarikat miliknya, Q-Tech Alliance Holdings Inc, dengan memperoleh pegangan sebanyak 19.9 peratus di San Miguel pada 2009.

Anak sulung Dr Mahathir itu yang juga merupakan ahli lembaga pengarah di Petron, meletak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah di SMC pada 2010.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 2013, Petron berkata Mirzan tidak memegang sebarang saham di Petron Malaysia dan tidak mempunyai kedudukan dalam syarikat tersebut. – 30 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen