ANWAR Ibrahim menasihati kerajaan agar memberi lebih perhatian kepada hak Melayu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata presiden PKR itu tidak mengkritik dasar kerajaan tetapi menyuarakan kebimbangannya.
“Beliau tidak mengkritik, beliau membuat beberapa kenyataan mengenainya.
“Beliau berasa kita tidak memberi perhatian terhadap kebajikan orang Melayu,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas pertemuan dengan pemimpin perniagaan Asean hari ini.
Di bawah perjanjian Pakatan Harapan, Anwar akan mengambil alih daripada Dr Mahathir sebagai perdana menteri seterusnya.
Dr Mahathir menambah Anwar juga tidak memberitahu sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya kecil untuk membolehkannya kembali ke Parlimen, yang akan membolehkannya menjadi perdana menteri kelak.
“Beliau tidak mengatakan apa-apa tentang bertanding. Beliau baru saja datang dan berjumpa saya, kami ada perbincangan. Tiada apa-apa tentang beliau akan bertanding,” katanya mengenao pertemuan yang berlangsung semalam.
Terdapat beberapa ahli Parlimen PKR yang sanggup melepaskan kerusi mereka demi Anwar, termasuk Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Ahli Parlimen Selayang William Leong. – 30 Ogos, 2018.
Komen