PUTRAJAYA akan menghentikan kutipan Tabung Harapan seawal bulan depan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Katanya, inisiatif itu merupakan simbolik untuk menunjukkan semangat patriotik rakyat Malaysia dan bukan bertujuan membayar hutang kerajaan semata-mata.
“Kita akan menghentikan kutipan. Tabung ini sebenarnya satu cara untuk mengetahui betapa rakyat sayangkan negara dan mereka sanggup berkorban untuk membantu menyelesaikan masalah kita iaitu masalah kewangan.
“Ini merupakan petunjuk jelas bahawa walaupun rakyat yang berpendapatan kecil sanggup membantu menyelamatkan negara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama ahli perniagaan Asean.
Tabung itu dilancarkan pada 30 Mei lalu untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia mempamerkan semangat patriotik bagi membantu negara mengurangkan hutang yang berjumlah RM1 trilion.
Setakat pukul 3 petang hari ini, kutipan Tabung Harapan sudah mencecah RM179,947,434.22.
Apabila ditanya tarikh sebenar kutipan tabung itu akan dihentikan, Dr Mahathir berkata “Kami belum memutuskan lagi, mungkin bulan depan.”
Perdana menteri berusia 93 tahun itu berkata kerajaan tidak akan memberi layanan istimewa atau pelepasan kepada syarikat yang menderma dengan banyak.
“Mungkin (mereka cuba mengambil kesempatan) tetapi kita tidak akan terjejas. Terdapat sebuah syarikat bermasalah yang mahu menderma dengan banyak, tetapi kita enggan menerimanya,” kata Dr Mahathir.
Terdapat kritikan mengatakan bahawa kerajaan mewujudkan tabung itu sebagai satu langkah publisiti dan bukan untuk menggunakan kutipan bagi melangsaikan hutang daripada kerajaan terdahulu. – 30 Ogos, 2018.
Komen