Adakah menteri tugas khas Hishammuddin ejen rahsia PM, soal DAP


Melati A. Jalil

Pelantikan Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas khas pada April lalu menimbulkan pelbagai persoalan berhubung peranan dan tanggungjawabnya kerana hingga kini ia masih belum digazetkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2017.

MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein dilabel sebagai ejen rahsia kepada Perdana Menteri Najib Razak selepas pelantikannya sebagai menteri tugas-tugas khas pada April masih belum digazetkan.

Ahli Parlimen Tanjong Tuan Ng Wei Aik berkata pelantikan itu perlu digazetkan di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

“Berdasarkan semakan kami, pelantikannya itu masih belum digazetkan. Penggazetan itu perlu menerangkan tugas menteri tugas-tugas khas. Kenapa mereka tidak maklumkan apa tugas beliau (Hishammuddin).

“Adakah dia ejen perisikan yang ditugaskan untuk menjaga hak peribadi Najib yang tidak boleh mereka nyatakan tanggungjawabnya?” katanya dalam satu sidang media di Parlimen.

Katanya penggazetan terakhir dibuat pada rombakan Kabinet Jun tahun lalu.

Dalam soalan lisan kepada perdana menteri, Tan mempersoalkan skop tugas, tanggungjawab dan bidang kuasa antarabangsa Hishammuddin sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said, yang menjawab pertanyaan itu mewakili perdana menteri berkata peranan Hishammuddin adalah sebagaimana peranan yang diamanahkan perdana menteri kepadanya dari semasa ke semasa selain menjadi menteri pertahanan. – 31 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen