Putrajaya tidak boleh pinggirkan sekolah mubaligh


Noel Achariam

Sekolah mubaligh meminta kerajaan Malaysia memikul tanggjungjawab menjaga kebajikan sekolah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA tidak wajar meminggirkan sekolah mubaligh sebaliknya mempunyai tanggungjawab untuk menjaga sekolah tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak sekolah mubaligh berkata, kerajaan perlu menyediakan peruntukan bantuan kewangan dalam bajet tahunan mereka dan menghentikan amalan yang tidak terikat dengan pemantauan kewangan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh pihak sekolah mubaligh La Salle Brothers Malaysia, Infant Jesus Sisters dan Provincial Cannosian Sisters.

Minggu lalu, bekalan elektrik di sebuah sekolah mubaligh, St Johns Institution dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) ekoran kegagalan pihak sekolah itu membayar bil elektrik.

Bagaimanapun, bekalan kembali pulih pada hari yang sama selepas pihak sekolah bersetuju membuat pembayaran minimum sebanyak RM50,000.

Pihak sekolah itu berjaya mengumpul derma sebanyak RM51,000 untuk membayar bil tersebut.

Dalam kenyataan itu, sekolah mubaligh berkata amalan memperuntukkan bantuan kewangan yang terhad untuk bil utiliti bagi sekolah mubaligh tidak akan menyelesaikan masalah tersebut.

Mereka berkata, bil utiliti sekolah mubaligh perlu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Kewajiban kerajaan untuk memberikan sokongan penuh kepada sekolah mubaligh dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996.

Berdasarkan Seksyen 2 akta itu, sekolah yang menerima bantuan kerajaan termasuk sekolah mubaligh, perlu menerima bantuan kewangan penuh.

Perbelanjaan itu termasuk “Lain Lain Perbelanjaan Berulang Tahun” yang digunakan untuk membayar bil utiliti.

“Adalah salah bagi Kementerian Pendidikan apabila mengeluarkan kenyataan pada 24 Ogos 2018 yang menyatakan pemberian bantuan kepada sekolah mubaligh bergantung kepada keupayaan kewangan negara.

“Sedangkan, kementerian bertanggungjawab untuk menyediakan dan menanggung kos pendidikan.”

Kenyatan itu berkata, tanggungjawab kerajaan persekutuan adalah jelas.

“Ini termasuk tanggungjawab untuk menyediakan semua sekolah mubaligh dengan kemudahan infrastruktur yang baik dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selesa kepada guru dan pelajar termasuk pemantauan terhadap perabot, menaiktaraf kemudahan dan utiliti.

“Jabatan pendidikan negeri yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan sekolah di negeri masing-masing gagal menunaikan tanggungjawab dan menyediakan kemudahan kepada sekolah mubaligh di Malaysia.”  – 30 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen