MENTERI Besar Kelantan Ahmad Yakob mengekalkan kenyataan pihaknya bertindak adil ketika mengalihkan sekatan Orang Asli di Gua Musang, dan menambah beberapa aduan dibuat berhubung sekatan itu dari ahli keluarga mereka.
Katanya beberapa Orang Asli mengadu kepada kerajaan negeri sekatan itu menjadi halangan kepada aktiviti perniagaan mereka.
“Kerajaan telah berikan masa secukupnya. Pihak yang bertanggungjawab sudah mengambil tindakan bagi membolehkan mereka membuka laluan walaupun kepada Orang Asli untuk melalui jalan itu.
“Orang Asli bertemu saya dan mengadu mereka tidak boleh menjual barangan mereka (kerana sekatan itu),” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS, berkata mereka mengikut undang-undang ketika mengalihkan sekatan itu.
“Kami sentiasa mematuhi peraturan. Kami mengikut apa yang diputuskan oleh mahkamah. Kami berikan mereka tanah untuk tinggal dan menanam tanaman mereka.
“Kawasan itu yang memberi masalah, kami telah gazetkan ia sebagai tanah yang dilindungi,” kata Ahmad.
Kerajaan Kelantan tambahnya, juga terbuka untuk berbincang dengan Putrajaya berhubung nasib Orang Asli.
“Kami terbuka tentangnya. Rundingan masih belum dimulakan, tetapi kami berbincang dengan Suhakam dahulu.
“Suhakam sudah menerima pandangan kita. Kita tidak bertindak secara tidak adil kepada Orang Asli,” kata Ahmad merujuk kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
Pada Isnin, pihak berkuasa merobohkan sekatan yang dibina Orang Asli sejak tujuh bulan lalu untuk menghalang pembalak dan peladang daripada menceroboh tanah yang didakwa sebagai tanah adat mereka di Ulu Kelantan.
Kira-kira 200 pegawai Jabatan Perhutanan Kelantan dan Pejabat Tanah Gua Musang merobohkan sekatan di Cawas, Kaleg dan Kegeg.
Bagaimanapun semalam, suku Temiar di Gua Musang membina semula sekatan untuk melindungi tanah adat yang didakwa gagal dilakukan oleh kerajaan negeri. – 30 Ogos, 2018
Komen