GOLONGAN belia Malaysia tidak mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana mahu menukar kerajaan yang rasuah, menurut satu badan penyelidik.
Iman, sebuah badan pemikir tempatan, berkata janji Pakatan Harapan (PH) untuk menunaikan 10 perubahan utama dalam tempoh 100 hari bukanlah faktor utama bagi pengundi muda untuk mengundi mereka.
“Mereka bosan dengan bekas kerajaan kerana rasuah dan belia mahu menukar pemimpin lama,” kata pengarah program Iman, Badrul Hisham Ismail.
Beliau berkata golongan muda berasa sangat berpuas hati dengan perubahan kerajaan.
“Mereka kini gembira dengan rasa bebas dan keterbukaan baharu yang mereka peroleh selepas perubahan itu.
“Jadi, penting bagi PH untuk mengekal dan melanjutkan kebebasan ini untuk memasukkan penyertaan belia dalam demokrasi Malaysia,” katanya semasa ditemui di pejabat penyelidikan di Wisma Sentral hari ini.
Iman menjalankan kajian mengenai peranan utama belia dalam PRU14.
Kumpulan fokus melibatkan 40 rakyat Malaysia berumur antara 18 hingga 35 tahun dari Lembah Klang, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah.
Badrul berkata apa yang belia mahu daripada kerajaan baru adalah peluang pekerjaan dan ekonomi lebih baik.
“Apa yang mereka bimbang adalah kekurangan peluang pekerjaan dan gaji minimum.
“Mereka mengundi PH untuk melihat peluang pekerjaan yang lebih baik disediakan.”
Ketua penyelidikan Vila Somiah berkata walaupun terdapat peluang pekerjaan di Lembah Klang, mereka lebih suka pekerjaan di kampung halaman mereka.
“Mereka mahu kerajaan PH melihat peluang pekerjaan di mana tinggal.
“Mereka tidak mahu berpindah ke bandar semata-mata untuk bekerja,” katanya.
Walaupun belia mempunyai sokongan besar terhadap PH, Badrul berkata kedudukan tidak begitu selamat.
“Mereka menunjukkan ada kemungkinan beralih jika pembangkang memberikan cadangan yang lebih baik untuk pertumbuhan dan kemajuan,” katanya.
Mengenai pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan dan pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan, Badrul berkata perlu ada penerangan jelas mengenainya.
“Para belia bingung bagaimana ia berfungsi dan mengatakan penjelasan lebih lanjut diperlukan.” – 30 Ogos, 2018.
Komen