ISLAM dipupuk dengan cara yang salah sehingga menjauhkan rakyat daripada agama, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata, cara Islam disebarkan oleh golongan tertentu memberikan gambaran negatif kepada agama yang indah ini.
“Islam menganjurkan keadilan dan kelembutan tetapi kita tidak mengamalkannya, bukan sahaja di Malaysia malah di negara lain juga.
“Kerana salah laku saudara seagama kita, Islam mendapat imej buruk. Imej ini tidak akan menarik masyarakat kepada agama yang hebat ini,” kata Dr Mahathir ketika berucap semasa melancarkan Institut Dakwah di Kuala Lumpur.
Pemimpin berusia 93 tahun itu memberi gambaran kekejaman agama di dunia berikutan pembunuhan yang berleluasa dan tadbir urus yang buruk di negara Islam.
“Kini kita lihat umat Islam hidup dalam masa yang sukar. Mereka bertelagah dan berbunuh sesama sendiri. Mereka tidak boleh mentadbir negara mereka.
“Mereka miskin tanpa ilmu, kemahiran dan kemampuan untuk menyokong mereka. Inilah yang berlaku di dunia Islam,” katanya.
Katanya beberapa pendakwah telah menyimpang daripada ajaran Islam sebenar yang memberi kesan negatif kepada agama.
“Dalam isu dakwah, saya merasakan kita tidak membantu diri kita sendiri dan sebenarnya melakukan perkara yang menjauhkan orang daripada Islam.
“Malangnya, kita lihat orang membayangkan Islam sebagai agama yang tidak berjaya dalam semua sudut,” tambah Dr Mahathir.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, sebaliknya ajaran Islam perlu berasaskan al-Quran dan dipupuk dengan baik.
“Saya harap saya telah jalankan tugas menyebarkan ajaran Islam sebenar terutamanya berdasarkan al-Quran, yang menjadi asas petunjuk dalam ajaran Islam.
“Terdapat pengajaran Islam oleh yang lain, dan pihak lain itu hanya memberi pandangan sendiri tetapi al-Quran adalah kalam Allah.
“Dari situ banyak kita dapat pelajari apa yang dianjurkan oleh Islam,” kata Dr Mahathir. – 30 Ogos, 2018
Komen