Belia anggap Syed Saddiq elitis, kata badan pemikir


Noel Achariam

Kemampuan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerajui kementeriannya diyakini penuh golongan muda di negeri kelahirannya, Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2018.

HASIL tinjauan badan pemikir Iman, mendapati kebanyakan belia yang ditemui percaya Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah seorang elitis.

Ketua Penyelidikan Iman, Vila Somiah berkata ke mana sahaja mereka pergi, golongan belia mempersoalkan kedudukan Syed Saddiq.

“Mereka cenderung mempersoalkan kedudukannya kerana faktor usianya.

“Beliau nampak seperti seorang elit yang tidak tahu bagaimana untuk mentadbir kementeriannya,” kata beliau di pejabat penyelidikan di Wisma Sentral hari ini.

Iman menjalankan kajian mengenai peranan penting yang dimainkan belia dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Kumpulan sasaran melibatkan 40 orang belia berumur di antara 18 hingga 35 tahun dari Lembah Klang, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah.

Bagaimanapun, Iman berkata Syed Saddiq menerima keyakinan penuh di kalangan belia di negeri asalnya di Johor.

Somiah berkata walaupun golongan belia memandang tinggi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, mereka merasa para menteri (dalam kabinetnya) harus bersuara jika terdapat sebarang masalah.

“Mereka yang mengundi PH gembira melihat Dr Mahathir menggantikan bekas perdana menteri Najib Razak tetapi kebimbangan mereka adalah ahli lain dalam Kabinet tidak cukup kuat untuk bersuara.

“Mereka berkata menteri perlu berunding dengannya jika ada masalah.”

Mengenai Presiden PKR Anwar Ibrahim, belia berasa tidak senang dengan penglibatannya yang cepat selepas PRU14.

Ketua Penyelidik, Vila Somiah dan Pengarah Program Badrul Hisham Ismail daripada badan pemikir Iman menjalankan kajian mengenai peranan belia dalam Pilihan Raya Umum ke.14. – Gambar The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2018.

Somiah berkata mereka mahu beliau menjadi ikon Reformasi.

“Mereka tidak bimbang tentang pengampunan Anwar tetapi mengenai penglibatan segera beliau dalam politik.

“Mereka berkata lebih baik baginya bersara dan memberi peluang kepada pemimpin baru.

“Bagaimanapun, seorang responden berkata beliau dilihat licik dan Malaysia memerlukannya.”

Mengenai bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin, Somiah berkata belia akan mengundinya jika beliau menjadi presiden Umno.

“Semua golongan belia bercakap hal baik mengenai Khairy dan berkata beliau menunjukkan kualiti kepimpinan terhormat dan dilihat melaksanakan tugasnya sebagai ahli Parlimen.

“Mereka berkata jika Khairy menjadi presiden Umno, mereka mungkin mengundi beliau dalam pilihan raya umum akan datang.” – 30 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen