Cadangan pas pengangkutan RM100 ke Kabinet bulan depan


Zaim Ibrahim

Pas pengangkutan awal yang bakal dilaksanakan membolehkan pengguna menaiki semua bas dan kereta api Rapid serta MRT tanpa had dengan bayaran RM100 sebulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2018.

CADANGAN untuk melaksanakan pas pengangkutan awam berjumlah RM100 akan dibentangkan ke Kabinet pada September depan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. 

Jelas beliau, kertas mengenai inisiatif itu sedang disiapkan untuk diberikan kepada jemaah menteri tetapi pelaksanaannya terpulang kepada kerajaan. 

“Ia (pas pengangkutan awam) akan memberi implikasi kepada kewangan kerajaan, (oleh itu) saya akan bentangkan kepada jemaah menteri dan harap diluluskan. 

“Inisiatif ini penting kerana ia adalah salah satu manifesto Pakatan Harapan (PH). Kita harap dapat dilaksanakan dalam keadaan segera tetapi apa-apapun, kita akan lihat dahulu kepada kemampuan kewangan,” jelasnya.

Pas tersebut akan membolehkan pengguna menaiki semua bas dan kereta api Rapid serta MRT tanpa had dengan bayaran RM100 sebulan.

Beliau turut memberikan jaminan bahawa pas itu akan dapat digunakan dalam masa sebelum selepas diluluskan kerajaan.

“Selepas dipertimbangkan oleh kerajaan, saya rasa dalam masa sebulan ia boleh digunakan,” tambahnya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Katanya lagi beliau tidak boleh memberi maklumat lanjut mengenai pas tersebut selagi belum mendapat kelulusan daripada Kabinet. 

Loke pada akhir Julai lalu mengumumkan, pas itu akan dapat digunakan pada awal 2019.

Pengunaan pas dengan nilai bulanan RM100 itu merupakan salah satu janji PH untuk mengurangkan kos pengguna dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Dalam ucapannya hari ini, Loke turut mengumumkan kerajaan akan mengumumkan pendekatan baharu kerajaan pada Isnin depan untuk mendidik pemandu menjadi lebih berhemah. – 30 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen