BEKAS menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali mempertahankan yang bantuan kerajaan negeri kepada warganya adalah lebih berintegriti berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenal Barisan Nasional.
Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata demikian dengan membandingkannya dengan inisiatif yang diperkenalkannya di Selangor seperti Skim Pinjaman Mikro Kredit.
Katanya, bantuan modal perniagaan berbentuk pinjaman berjumlah kecil itu lebih menjamin masa depan dalam jangka panjang kerana disalurkan kepada peniaga kecil yang tidak layak mendapat pinjaman bank.
“Istilah dan pendekatan yang kita gunakan di Selangor sebelum ini adalah untuk memberdayakan rakyat di negeri Selangor.
“Sebab itu bagi peniaga kecil, di Selangor contohnya, yang tak mempunyai modal untuk dapat modal perniagaan daripada bank kerana mereka tidak ada cagaran untuk mendapat pinjaman tersebut atau mendapat sokongan yang kuat bagi mendapat pinjaman, kerajaan negeri telah memperkenalkan program mikrokredit kepada mereka,” katanya.
BR1M pula hanyalah sogokan wang tunai mempunyai unsur rasuah kerana bertujuan meraih sokongan politik kepada parti politik tertentu, katanya lagi dalam program bual bicara di TV1 malam tadi.
“Sebab itu saya secara peribadi tak begitu selesa dengan pemberian BR1M kepada pihak yang tak sewajarnya dapat bantuan kerana ini tidak memberdayakan mereka,” kata timbalan presiden PKR itu lagi.
Menurutnya negeri membelanjakan lebih RM350 juta untuk bantuan modal perniagaan mereka di antara RM1,000 sehingga RM50,000 tanpa faedah bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Dengan RM1,000 modal perniagaan, kedai mereka dapat dibaik pulih atau gerai mereka dapat sediakan kemudahan yang lebih baik, pendapatan mereka pun lebih tinggi dan ini akan dapat meningkatkan kuasa ekonomi rakyat Selangor,” jelasnya.
Beliau yang menjadi menteri besar selama dua penggal itu menegaskan, bantuan seperti itu harus disalurkan kepada semua dan bukan hanya dikhususkan sesuatu golongan sahaja demi meraih sokongan politik.
“Sokongan, dokongan apa jua istilah, tongkat ataupun bimbingan itu masih diperlukan untuk bantu golongan yang perlu dapat bantuan.
“Bukan sahaja golongan Melayu dan Bumiputera tapi ada juga masyarakat rakyat Malaysia yang masih perlukan bantuan, mereka harus dapat bantuan. Jangan tujuannya untuk mendapat sokongan politik, kerana ini ada unsur-unsur rasuah.
“Tetapi, kalau matlamatnya untuk memberdayakan usahawan-usahawan kecil ini, saya rasa ini usaha yang harus kita teruskan dan harus dapat sokongan semua pihak,” katanya.
Beliau juga pada Ahad lalu menyokong pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum menghentikannya sepenuhnya.
Azmin berkata langkah itu bagi mengelak kerajaan melakukan sogokan bagi kepentingan politik. – 30 Ogos, 2018.
Komen